RAMALLAH - PALESTIN. Seorang banduan Palestin yang melancarkan mogok lapar bagi membantah penahanan pentadbiran oleh rejim Israel kini berada dalam keadaan kritikal, menurut pegawai Palestin, semalam.

Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Banduan, Issa Qarage berkata, Khader Adnan mengadakan mogok lapar sejak 35 hari lalu dan kini kehilangan berat badan serta kadar denyutan jantungnya semakin lemah.

"Dia telah dibebaskan daripada jagaan Israel selepas melancarkan salah satu mogok lapar paling lama dalam sejarah pada 2012, namun ditahan semula pada Julai tahun lalu," menurutnya.

Menurut Press TV, pada masa sama, Qaraqe menuntut supaya tahanan pentadbiran ditamatkan.

Dalam satu surat terbuka Adnan bulan lalu, mogok lapar yang diadakannya bertujuan menghalang Tel Aviv daripada merosakkan pencapaian tahanan Palestin yang berjaya mendapatkan kebebasan daripada mogok lapar sebelum ini.