BAITULMAQDIS - PALESTIN. Pesawat Israel dilaporkan menyerang utara Semenanjung Gaza, semalam, sebagai tindak balas kepada sebuah roket yang dilancarkan dari wilayah dikawal Hamas.

Serangan udara itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kerosakan, kecederaan atau kemalangan jiwa kerana ia mendarat di sebuah kawasan terbuka.

Jurucakap tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, serangan tersebut menyasarkan infrastruktur di bahagian utara Semenanjung Gaza dan bedilan yang dilancarkan telah disahkan.

Difahamkan melalui laporan Reuters, serangan roket dari Gaza beberapa minggu lalu memecahkan kesunyian sejak perang Israel selama 50 hari menentang Hamas berakhir selepas gencatan senjata Mesir Ogos lalu.

Siren serangan udara dibunyikan di seluruh Ashkelon, sebuah bandar kira-kira 10 kilometer di utara Gaza dengan kepadatan penduduk hampir 12,000 orang.

Sebuah kumpulan Salafi, Omar Brigades, mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan di Ashkelon, bertujuan sebagai solidariti terhadap tahanan Palestin di penjara Israel dan anggota kumpulan mereka yang dikawal Hamas di Gaza.