Tuesday 27 October 2015

Cadangan pantau al-Aqsa adalah perangkap


Cadangan pantau al-Aqsa adalah perangkap

27 OKTOBER 2015
Cadangan pantau al-Aqsa adalah perangkap Kanak-kanak Libya dan Palestin berkumpul di luar masjid Baitulmaqdis di Tripoli semasa demonstrasi perpaduan Masjid al-Aqsa. Foto: AFP

BAITULMAQDIS - PALESTIN. Menteri Luar Palestin menyifatkan rancangan perjanjian Israel dan Jordan untuk memasang kamera keselamatan di perkarangan Masjid al-Aqsa adalah sebagai perangkap baharu.

Menurut Riyad al-Maliki, Israel merancang menggunakan rakaman itu untuk menangkap jemaah Islam yang didakwa menghasut bagi menentang rejim Zionis.

Sabtu lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry memberitahu bahawa Israel menyambut baik cadangan Raja Jordan, Raja Abdullah, untuk memantau Al-Aqsa 24 jam sehari selepas bertemunya bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin, Saeb Erekat turut memberitahu Kerry supaya melihat masalah daripada akarnya dan ia adalah penjajahan berterusan Zionis di wilayah Palestin.

Sejak 1 Oktober lalu, serangan bersenjata, tembakan dan protes berlaku hampir setiap hari dalam keganasan yang dicetuskan akibat pencerobohan Israel di al-Aqsa.

Susulan perjanjian berkenaan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, langkah baharu itu diambil bagi meredakan kebimbangan rakyat Palestin bahawa Israel merancang untuk mengubah peraturan yang telah lama ditadbir di kawasan itu. - Al Jazeera

No comments:

Post a Comment