Monday 26 October 2015

AS kurangkan bantuan kepada Palestin


REUTERS - Kerry (kiri) dilihat berbual dengan Mahmoud (dua dari kanan) selepas menghadiri mesyuarat di Amman, Jordan kelmarin.


AMMAN – Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan bantuan ekonomi kepada pihak berkuasa Palestin, antaranya disebabkan ‘tindakan tidak wajar’ yang dilakukan, kata seorang diplomat AS kelmarin.
Sebuah laman berita Al-Monitor, sebelum ini melaporkan Jabatan Negara AS berniat mengurangkan bantuan kepada Tebing Barat dan Gaza bagi tahun 2016 daripada AS$370 juta (RM1.8 bilion) kepada AS$290 juta (RM1.2 bilion).
Seorang pegawai Jabatan Negara AS yang mengiringi Setiausaha Negara AS, John Kerry dalam lawatan ke Amman, Jordan mengesahkan pemotongan dana bantuan tersebut.
“Keputusan untuk mengurangkan bantuan kepada pihak berkuasa Palestin telah dibuat pada musim bunga lalu.
“Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keputusan ini, termasuk tindakan tidak wajar diambil pihak Palestin dan kekangan ke atas bajet bantuan global kami,” katanya kepada wartawan.
Pengurangan bantuan itu tidak berkait secara langsung dengan siri keganasan yang kini membelenggu wilayah Palestin dan Israel, jelas pegawai tersebut.
Sumber itu bagaimanapun menambah; “Kami telah menyatakan dengan jelas kebimbangan tentang retorik yang menimbulkan kemarahan sejak beberapa minggu lalu.”
Al-Monitor yang memetik laporan akhbar Israel, Haaretz menyatakan pemotongan itu menyusul selepas kritikan hebat di dalam Kongres AS mengenai ‘hasutan’ terhadap penduduk Palestin.
Kerry berada di Amman kelmarin untuk mengadakan perbincangan dengan Raja Abdullah II dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengenai cara untuk menamatkan pertempuran berdarah terbaru itu.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada langkah diplomatik mengejut bagi meredakan ketegangan yang dikhuatiri akan memulakan kebangkitan intifada baharu dalam kalangan penduduk Palestin. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3pcVfq9y0 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment