Protes dasar Netanyahu Protes tersebut turut disertai anggota beberapa parti berhaluan kiri di Knesset.
TEL AVIV - ISRAEL. Ribuan penunjuk perasaan di Israel membanjiri jalan utama di sini, kelmarin sebagai membantah dasar Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang didakwa menjadi punca peningkatan gelombang keganasan di wilayah Palestin termasuk di Genting Gaza.
Protes anjuran kumpulan aktivis, Peace Now itu turut berarak dari Dataran Habima menuju ke ibu pejabat Kementerian Hal Ehwal Ketenteraan sambil melaungkan slogan mendesak pemimpin tersebut menghentikan konflik tersebut dan menyertai sesi dialog dengan Palestin.
Seorang peserta protes, Daniel Dojon memberitahu dia turut serta dalam demonstrasi tersebut kerana situasi dilihat semakin meruncing di wilayah terbabit.
"Saya tidak bercakap mengenai keselamatan sebaliknya krisis ini berlaku kerana kelemahan dalam politik hingga menyebabkan ahli politik Israel menjadi lebih ekstrem," katanya.
Sementara itu, anggota parti berhaluan kiri, Meretz, Zehava Gal-On mendakwa Netanyahu gagal menyediakan keselamatan peribadi untuk penduduk Israel.
Dalam perkembangan lain, jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra mengesahkan seorang lagi penduduk Palestin maut akibat ditembak tentera Zionis.
Menurutnya, Khalil Hassan Abu Obeid, 25, ditembak dalam insiden pertempuran di bahagian timur Khan Younis. - Press TV
No comments:
Post a Comment