Saturday, 14 March 2015

Rakyat Palestin terpenjara akibat kezaliman Israel

Hospital El Wafa, Rafah yang musnah dibedil Israel pada tahun lalu.
Sebahagian wanita Palestin memberi sokongan kepada Hamas di depan ibu pejabat UNRWA sempena Hari Wanita Sedunia di Gaza. - Foto AFP
SABTU, 14 MAC 2015 @ 8:44 AM
Konflik ketenteraan dan kemanusiaan di wilayah Palestin terutama Gaza berlaku saban tahun meliputi tempoh hampir tujuh dekad. Malah, Gaza digelar penjara terbesar dunia. Selain itu, peperangan terbaharu sudah enam bulan berlalu di bumi Gaza, namun nasib 1.8 juta rakyat Palestin di wilayah konflik itu masih belum terbela. Pelarian Palestin, majoritinya hidup di bawah paras kemiskinan AS$1.5 (RM5.60) sehari masih menderita apatah lagi nasib 108,000 yang hilang tempat tinggal dalam serangan rejim Israel pada Ogos/Julai lalu.
Lebih mengejutkan apabila Agensi Bantuan dan Pekerjaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) menyatakan jumlah warga Palestin yang bergantung dengan agensi PBB itu meningkat daripada 80,000 kepada 800,000.
Realiti memeritkan itu dinyatakan Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Pierre Krahenbuhl, dalam mesyuarat dengan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parlimen Eropah di Brussels, awal bulan ini.
"Angka ini mengejutkan dan membayangkan situasi tragik yang kita semua harus hadapi," katanya merujuk situasi terkini di wilayah konflik itu.
UNRWA terpaksa henti bantuan kewangan
Peningkatan 10 kali ganda itu tentunya menggusarkan semua pihak apatah lagi ketika UNRWA, yang juga talian hayat kepada rakyat Palestin di seluruh dunia, dilaporkan terpaksa menghentikan program bantuan kewangan di Gaza Januari lalu.
Situasi pedih itu menyebabkan pelarian yang terdesak terbabit dalam rusuhan kecil di gudang simpanan UNRWA di wilayah konflik itu. Wang bantuan itu sepatutnya digunakan untuk membaiki rumah yang musnah atau untuk membayar subsidi sewa pelarian terbabit.
Penulis yang memasuki Gaza pada Oktober lalu mendapati ramai warga Palestin terpaksa berhimpit-himpit di sekolah UNRWA bagi tempat berlindung dan tidak kurang juga menumpang di rumah sanak-saudara atau menyewa bagi yang mampu.


Sempadan Rafah dikawal ketat
Di Gaza, mangsa serangan rejim zionis masih menderita apabila keadaan di sempadan Rafah yang dikawal Mesir belum menunjukkan tanda-tanda positif.
Ia dikawal ketat dengan pergerakan terhad kepada kes-kes khas yang tertakluk sepenuhnya kepada kelulusan bahagian risikan Mesir. Tentera Mesir juga dilaporkan giat memusnahkan saki baki terowong bawah tanah yang sebelum ini menjadi sumber ekonomi Gaza.
Jambatan yang merentasi Terusan Suez juga terus ditutup dan dikawal pihak tentera Mesir bagi berdepan sebarang ancaman ke atas pemerintahan sedia ada.
Penulis difahamkan perintah berkurung yang dikuat kuasa Mesir hujung Oktober lalu, akibat ancaman militan di wilayah tengah dan utara Sinai, terus berjalan.
Ini bermakna laluan di sempadan Rafah masih terhad dan warga Palestin yang terus dikepung rejim Israel, bergantung sepenuhnya kepada belas ihsan negara jirannya di bawah pimpinan Presiden Abdel Fattah Al-Sisi.
Sumber diplomat memaklumkan perintah berkurung semakin ketat sekalipun pintu sempadan Rafah dibuka selama dua hari pada 9 dan 10 Mac lalu.
Jurucakap pihak berkuasa Palestin di Gaza, Maher Abu Sabha memaklumkan hanya 900 orang dibenarkan menyeberangi sempadan Rafah dengan menaiki 12 bas dalam tempoh dua hari itu.
"Beribu-ribu mahu keluar (dari Gaza) tak dapat berbuat demikian, manakala puluhan terkandas di Mesir tidak dapat pulang," katanya.
Jurucakap Aman Palestin di Gaza, Hamza Deirawi, memaklumkan tempoh dua hari itu tentunya tidak mampu menampung bilangan warga Gaza yang ingin keluar dari wilayah konflik itu atas pelbagai sebab.
Pergerakan lancar di sempadan Rafah amat penting bagi kes-kes kritikal khususnya pesakit yang perlu mendapatkan rawatan susulan di luar Gaza.
Pihak berkuasa Mesir sebelum ini mengetatkan kawalan di sempadan ekoran ancaman militan susulan kejatuhan Presiden Mohamed Morsi pada tahun 2013 akibat rampasan tentera.
Apa yang pasti, perkembangan pada 28 Februari lalu menggusarkan ramai pihak mengenai masa depan Gaza apabila Mahkamah Mesir mengisytiharkan Hamas sebagai 'organisasi pengganas', menjadikan Mesir negara keempat berbuat demikian selepas Israel, Amerika Syarikat dan Kanada.
Hamas dilihat masih popular di Gaza dan bersedia menjayakan kerajaan perpaduan dengan Fatah yang menguasai Tebing Barat selepas suara Palestin semakin diterima masyarakat dunia, khususnya di Eropah.
Pengiktirafan Palestin
Pemerhati politik menyifatkan pengiktirafan Palestin dalam kalangan negara Eropah memberi tekanan kepada pendudukan Israel di Tebing Barat dan juga pengepungan ke atas Gaza sejak tahun 2007.
Perkembangan ini amat ditakuti Israel ketika penderitaan di wilayah konflik itu belum berakhir selepas dunia terus dimomok dengan isu militan Negara Islam (IS) di segenap penjuru.
Sekalipun IS mendominasi dada akhbar dan menjadi tajuk utama berita dunia, isu pelarian Palestin tidak harus dilupakan sebagai isu kemanusiaan yang memalukan masyarakat dunia.
"Gaza adalah sumber keaiban masyarakat dunia," kata Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon ketika memasuki Gaza pada Oktober lalu.
Konflik di Palestin mungkin dilihat tidak seteruk krisis di Syria yang menyaksikan 12 juta rakyatnya terjejas, dengan 3.3 juta menjadi pelarian di negara jiran, namun ia berterusan sejak 67 tahun lalu tanpa penyelesaian konkrit.
Sehingga hari ini, sekalipun masyarakat antarabangsa memberi derma dan bantuan, pihak yang dapat membawa perubahan di bumi Palestin khususnya negara kuasa besar dunia juga bersikap hipokrit kerana membenarkan isu dan permasalahan Palestin berlarutan.


Rejim Zionis bermaharajalela


Hanya dalam isu Palestin nampaknya negara kuasa besar memekakkan telinga dan menutup mata membiarkan rejim Zionis Israel bermaharajalela.
Mereka tiada masalah mengebom pelampau al-Qaeda atau kumpulan Negara Islam (IS) dan penyokong militan, tetapi enggan membenarkan rakyat Palestin keluar daripada penjajahan Yahudi meskipun sudah banyak cadangan dikemukakan negara Arab untuk menamatkan derita Palestin.
Menunjukkan dasar anti-Arab rejim zionis, menjelang pilihan raya Israel pada 17 Mac, pihak berkuasa Yahudi menyediakan satu 'app' dalam bahasa Hebrew menunjukkan peta pilihan raya termasuk di mana seseorang itu patut mengundi.

Ada ahli perundangan Yahudi menganggapnya niat parti pemerintah untuk tidak menggalakkan orang Arab di Israel mengundi sekalipun ada kenyataan mengatakan app dalam bahasa Arab akan dikeluarkan selepas ini. Penduduk Palestin nampaknya akan terus ditindas sama ada mereka di Gaza atau di kawasan di bawah jajahan Yahudi.

No comments:

Post a Comment