Sejak Perjanjian Oslo dimeterai antara Yasser Arafat* (Pengerusi PLO) dan Yitzhak Rabin** (Perdana Menteri Israel) pada tahun 1993 (20 tahun yang lalu), hampir tiada satu manfaat pun yang diperoleh rakyat Palestin.
Penempatan haram Israel di Tebing Barat semakin bertambah. Pencerobohan ke atas Masjidil Aqsa dan pengyahudian wilayah Baitul Makdis (Jerusalem) semakin giat berlaku. Tembok setinggi 8 meter dan panjang melebihi 700 km dibina di Tebing Barat sebagai alasan keselamatan rejim haram Israel daripada serangan berani mati para mujahidin Palestin. Dan Gaza dibedil dengan kejam pada Disember 2008-Januari 2009 dan November 2012.
Usaha sia-sia ini tidak sekadar di Oslo. Ia berlarutan di Protokol Hebron (1997), Memorandum Wye River (1998), Sharm el-Sheikh (1998), Camp David (2000), Taba (2001), Road Map (2003), dan Annapolis (2007).
Dan setelah lebih 5 tahun ia kesunyian tidak disapa, ia kembali pada Julai 2013 dengan sekali lagi dimediasi oleh penyokong kuat rejim haram Israel, Amerika Syarikat.
Tatkala HAMAS dan seruan jihad mula mendapat tempat di Palestin, rejim haram Israel terus berusaha mencari rakan kongsi untuk membunuh kebangkitan rakyat di wilayah itu. PLO menjadi pilihan tepat kerana ia tidak pernah berhenti menagih walau sekadar sekangkang tanah di Tebing Barat; biarpun status Gaza diletak sebagai ‘wilayah yang tertangguh’ dalam syarat-syarat perundingan.
Terbaru, rejim Israel menunjukkan wajah sucinya dengan membebaskan 26 tahanan Palestin (31 Dis) sebagai tanda komitmen terhadap jalan damai sedang dalam waktu yang sama membedil Kem Pelarian Maghazi di Gaza (24 Dis), menyebabkan kematian seorang anak kecil perempuan berumur 3 tahun, dan meluluskan rang undang-undang yang meletakkan Jordan Valley di bawah penguasaan mereka (29 Dis). Maruah Palestin terus diperkotak-katikkan.
Proses perundingan damai yang sia-sia masih berlangsung. John Kerry, Setiusaha Negara AS, sedang berusaha mengejar masa. Sasarannya adalah April 2014.
Entah derita apa lagi yang sedang menanti rakyat Palestin.
Masih tersisakah maruah Palestin jika PLO terus menerus menagih simpati Israel?
Sesungguhnya jalan perdamaian yang ikhlas murni masih panjang. Dunia masih menanti pejuang kemanusiaan yang sebenar. Presiden Mursi muncul sebentar memberikan harapan tetapi pantas digulingkan.
Siapakah harapan kita seterusnya?
Moga kita tidak ditewaskan oleh masa dan rasa putus asa.
[KJ]
--------------------
* Yasser Arafat dipercayai mati diracun dengan arsenik.
** Yitzhak Rabin mati ditembak puak pelampau Yahudi yang berang kerana beliau menandatangani perjanjian damai dengan PLO.
No comments:
Post a Comment