Friday 3 January 2014

Israel semakin melampau


BAITULMAQDIS 2 Jan. - Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia hari ini mengutuk tindakan Israel yang menggunakan rumah penduduk awam Palestin sebagai sasaran serbuan semasa latihan tenteranya.
Menurut laporan Al-Jazeera yang memetik jurucakap kumpulan Breaking The Silence, Shai Davidovitch, tindakan pihak tentera Israel di Tebing Barat itu melanggar undang-undang dan membahayakan nyawa orang ramai.
"Kami dimaklumkan bahawa tentera Israel bertindak melampau dengan menyerbu kampung-kampung serta rumah penduduk Palestin semasa menjalankan latihan ketenteraan.
"Anggota tentera Israel juga kadang-kala menahan penduduk Palestin selama berjam-jam tanpa sebarang alasan," kata Davidovitch kepada Al-Jazeera.
Jelasnya, kejadian itu dilaporkan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini sehingga menyebabkan penduduk awam Palestin ketakutan.
Kritikan terhadap Israel itu dibuat ketika Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry tiba di Tel Aviv hari ini bagi menggesa sambungan semula rundingan damai Asia Barat di antara kedua-dua pihak tersebut.
Dialog yang memasuki bulan kelima daripada sembilan bulan waktu ditetapkan itu, terus dibayangi pelbagai isu antaranya kedegilan Israel yang tetap membina penempatan haram mereka di Tebing Barat.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Marie Harf berkata, rangka masa dialog yang dirangka Kerry akan menekankan pelbagai isu penting termasuk hal berkaitan sempadan, pelarian, status Baitulmaqdis, pembinaan penempatan dan keselamatan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140103/lu_04/Israel-semakin-melampau#ixzz2pHnnLygU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment