London: Anggota Parlimen Britain akan mengundi Isnin ini untuk menentukan sama ada negara itu akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara atau sebaliknya.
Undian itu sebahagian daripada usul yang dikemukakan anggota pembangkang, Grahame Morris dari parti Buruh.
“Jika undiannya positif, ini pasti memberi tekanan hebat kepada kerajaan sedia ada dan yang akan datang - berkemungkinan dari Parti Buruh - untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
“Jika United Kingdom (UK) mengiktiraf Palestin, ia mampu membuka ruang untuk negara Kesatuan Eropah (EU) lain turut berbuat demikian.
“Ia mampu menjadi mesej jelas dan sahih bahawa Britain dan negara lain mengiktiraf hak Palestin seterusnya mengesahkan pendudukan Israel ke atas tanah milik rakyat Palestin tidak berasas,” katanya.
Tindakan ini menyusuli pengumuman Perdana Menteri baru Sweden Stefan Loefven awal bulan ini yang mengumumkan negara itu mengiktiraf Palestin hingga mencetuskan kemarahan Israel.
Parti Buruh berkata ia akan menyokong usul Morris itu. Beberapa ahli Parlimen dari parti Konservatif yang memerintah Britain juga menyuarakan sokongan.
Setakat ini, kira-kira 112 negara sudah mengiktiraf kewujudan negara Palestin.
Pada 2012, Britain mengambil sikap berkecuali dalam undian di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memberi status negara pemerhati kepada Palestin.
Status itu diberi kepada Palestin walaupun dibantah keras AS dan Israel selain beberapa negara lain. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11
No comments:
Post a Comment