Tebing Barat: Pasukan keselamatan Israel menggempur berpuluh-puluh penduduk Palestin selepas rejim Zionis membenarkan pembinaan petempatan haram di Tebing Barat.
Pertempuran berlaku di antara sejumlah belia Palestin dan tentera Israel di bandar Beit Sahour, timur Baitullaham semalam.
Saksi berkata, tentera rejim Zionis itu melepaskan tembakan grenad pegun ke arah penunjuk perasaan untuk menyuraikan mereka. Sementara itu, Menteri Luar Pihak Berkuasa Palestin, Riyad al-Maliki menggesa pembinaan petempatan haram itu dibekukan serta-merta.
Kata Riyad, insiden itu melemahkan usaha untuk menghidupkan semula proses rundingan damai.
“Bagi kami, menghentikan pembinaan adalah penting dan menjadi asas untuk meneruskan rundingan damai.
“Tanpanya, ia akan sukar - jika pun tidak sehingga mustahil - untuk mencari wakil Palestin yang berminat berunding dengan Israel,” katanya. Riyad berkata, tuntutan itu bukan syarat ditetapkan Palestin, sebaliknya dikehendaki komuniti antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kebanyakan negara menganggap petempatan Israel itu adalah haram kerana dibina di kawasan yang dirampas negara Yahudi itu dalam perang pada 1967. Ia tertakluk kepada Konvensyen Geneva yang melarang sebarang pembinaan dijalankan di tanah yang dijajah. - AFP
No comments:
Post a Comment