Wednesday 21 January 2015

AS ugut potong bantuan Palestin





BAITULMUQADDIS – Seorang senator kanan daripada parti Republikan, Lindsey Graham memberi amaran kelmarin bahawa Amerika Syarikat (AS) mungkin menarik balik bantuan tahunan kepada Palestin jika wilayah berkenaan memfailkan saman terhadap Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Pemimpin Palestin sebelum ini merancang memfailkan saman tersebut selepas diterima menyertai ICC pada bulan ini walaupun mendapat bantahan keras dari AS dan Israel.
Graham yang merupakan salah seorang daripada tujuh anggota senator yang menyertai delegasi lawatan ke Israel, Arab Saudi dan Qatar berkata, AS sedia memotong bantuan kepada Palestin jika mereka memfailkan aduan terhadap Israel.
Dalam satu sidang akhbar di sini, Graham menganggap rancangan Palestin itu sebagai mencemarkan peranan ICC dan berbentuk serangan.
“Kami akan menentang keras bagi menunjukkan kami tidak bersetuju dengan usaha Palestin ini.
“Undang-undang juga menyatakan bahawa kami perlu menghentikan bantuan ini jika mereka membawa kes berkenaan ke ICC,” katanya.
Pentadbiran Presiden AS, Barack Obama sebelum ini menyatakan, Palestin bukan sebuah negara yang merdeka dan atas faktor itu mereka tidak layak menganggotai ICC.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon telah mengesahkan Palestin secara rasmi menjadi anggota ICC pada 1 April ini.
AS sebelum ini menyalurkan bantuan wang berjumlah AS$400 juta (RM1.4 bilion) setahun kepada pihak berkuasa Palestin.
Sekiranya AS menghentikan bantuan berkenaan pentadbiran Palestin di Tebing Barat dan Gaza kemungkinan lumpuh.
Israel juga sudah membekukan keuntungan cukai berjumlah AS$120 juta (RM433 juta) yang disalurkan setiap bulan kepada pihak berkuasa Palestin. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3PPQieg00 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment