LONDON: Pemantau hak asasi manusia, 'Amnesty International' berkata tentera Israel melakukan jenayah perang ketika melancarkan serangan di Gaza tahun ini dan perlu disiasat.
Dalam laporannya, kumpulan hak asasi manusia itu berkata kemusnahan yang diakibatkan ke atas bangunan empat tingkat ketika empat hari terakhir dalam peperangan selama 50 hari itu mencabuli undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Semua bukti yang kami ada menunjukkan pemusnahan besar-besaran itu dilakukan dengan secara sengaja tanpa alasan ketenteraan," kata Philip Luther, Pengarah 'Amnesty International' bagi Program Asia Barat dan Afrika Utara.
"Jenayah perang mesti disiasat secara bebas dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Tambahnya, bukti termasuk kenyataan oleh tentera Israel menyatakan serangan itu dilakukan sebagai hukuman terhadap rakyat Gaza, bertujuan memusnahkan kehidupan mereka.
Setakat ini pihak berkuasa Israel masih belum memberi reaksi kepada kenyataan 'Amnesty International' itu.
Bagaimanapun, Baitulmaqdis enggan bekerjasama dengan siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kemungkinan berlaku jenayah perang dalam konflik berkenaan dan menuduhnya sebagai berat sebelah.
Tentera Israel melancarkan beberapa siri siasatan jenayah berhubung beberapa kejadian dalam peperangan itu, termasuk pembedilan sebuah sekolah PBB yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang dan pengeboman pantai yang meragut nyawa empat kanak-kanak.
Lebih 2,100 rakyat Palestin, sebahagian besarnya orang awam, terbunuh dalam peperangan antara Israel dan Hamas itu yang berakhir pada 26 Ogos lalu.
Di sebelah pihak Israel, hanya 73 orang terbunuh, termasuk 67 askar. - AFP
No comments:
Post a Comment