Portal berita Al-Jazeera melaporkan, keputusan ICC merupakan satu kejayaan simbolik buat Palestin dan secara teorinya wilayah itu kini boleh mengemukakan tuduhan jenayah perang terhadap rejim Zionis untuk disiasat oleh badan kehakiman antarabangsa tersebut.
Pengarang Diplomatik Al-Jazeera, James Bays melaporkan, keputusan itu dibuat di sebuah mesyuarat terbuka Perhimpunan Negara-Negara Anggota ICC.
“Keputusan itu bermakna Palestin kini disenaraikan sebagai Pemerhati Bukan Negara Anggota, status sama seperti Amerika Syarikat (AS) atau Rusia dan negara-negara lain yang tidak menandatangani Piagam Rom.
“Dalam kata lain, ICC kini menganggap Palestin sebagai sebuah negara. Penerimaan itu hanyalah bersifat simbolik, tetapi menambah momentum ke arah pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara,’’ katanya.
Beliau berkata, jika Palestin memohon untuk menyertai Piagam Rom, negara-negara anggota ICC mungkin tidak boleh menolaknya.
“Penerimaan dalam Piagam Rom akan membolehkan dakwaan jenayah perang ke atas Israel dikemukakan,’’ katanya.
ICC merupakan satu pertubuhan antarabangsa bebas dan bukan sebahagian daripada sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta diselia di bawah Piagam Rom.