|
BAITULMUQADDIS – Polis Israel memansuhkan sekatan had umur terhadap orang Islam yang mahu mengerjakan solat jemaah di pekarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis semalam buat kali pertama sejak beberapa minggu lalu.
Halangan had usia melibatkan lelaki Islam itu berkuat kuasa pada setiap hari Jumaat sejak pertengahan September lepas susulan pertempuran berulang kali antara pemuda Palestin dan polis Israel di masjid berkenaan.
“Buat masa sekarang, tiada sekatan had umur untuk lelaki Islam memasuki al-Aqsa,” kata seorang jurucakap polis Israel dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, sekatan itu menyebabkan hanya lelaki Islam berumur lebih 40, 45 atau 50 tahun dibenarkan masuk ke pekarangan masjid berkenaan di timur Baitulmuqaddis.
Pekarangan itu dirampas Rejim Zionis semasa Perang Enam Hari pada 1967 dan dijadikan sebahagian daripada wilayah Israel dalam langkah yang tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Pekarangan itu juga merupakan tempat paling suci untuk orang Yahudi yang menamakannya sebagai Kuil Bukit.
Tunjuk perasaan di Al-Aqsa mencetuskan gelombang serangan individu bersenjatakan pisau di Baitulmuqaddis, insiden tembakan dan rempuhan kereta terhadap askar, polis serta orang awam Israel.
Sejak 1 Oktober lalu, sekurang-kurangnya 49 penduduk Palestin dan seorang warga Israel berketurunan Arab terbunuh termasuk beberapa penyerang dalam keganasan tersebut. Sebanyak lapan warga Israel turut maut dalam serangan itu. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1024&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3pQpZJ0bl
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment