• Sebahagian daripada hospital ranap teruk akibat bedilan Israel. - Foto AFPSebahagian daripada hospital ranap teruk akibat bedilan Israel. - Foto AFP

SEPANJANG tempoh serangan di Gaza, sejak 8 Julai lalu, Israel dikatakan tidak mencapai sebarang matlamat ketenteraan.
    
Mereka sebaliknya hanya mewujudkan sentimen kebencian di kalangan penduduk dunia terhadap negara sendiri selepas ribuan penduduk awam di Gaza terbunuh.

Seorang pengulas politik AS, Eugene Michael Jones berpendapat, Israel gagal dalam Operasi Persempadanan Semula yang pada awalnya dijadikan agenda utama.

“Mereka tidak mencapai matlamat, sebaliknya dikecam, dihina dan berhadapan dengan risiko sekatan ekonomi daripada negara luar,” katanya dalam wawancara semalam.

Jones berkata, rejim Tel Aviv hanya menggambarkan diri mereka sebagai individu paling kejam dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai kerana membunuh ratusan penduduk awam termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak bersenjata selepas mengepung Genting Gaza.

“Ini adalah penghinaan terhadap mereka. Apa lagi yang ingin mereka lakukan lagi selepas gencatan senjata ini tamat. Kembali membunuh lebih ramai wanita dan kanak-kanak?” katanya.

Menurutnya, pertubuhan badan dunia, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut menjejaskan reputasi mereka sendiri kerana hanya membisu dalam menghadapi kekejaman Israel terhadap penduduk Gaza.

“ Apa yang dipertaruhkan di sini adalah kredibiliti organisasi di seluruh dunia seperti PBB dan ICC. Reputasi mereka jelas tercalar selepas gagal menghentikan serangan dan mengheret pesalah ke pengadilan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tetap mempertahankan Tel Aviv dengan menyatakan serangan itu wajar dilakukan .

 Pada sidang akhbar di Timur al-Quds, beliau menyatakan pendirian itu walaupun kehilangan ramai penduduk awam, askar dan berhadapan dengan kemusnahan teruk.

“Saya rasa ia adalah wajar dan seimbang,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Amerika Syarikat kerana menyokong rejim kerana menyalurkan dana tambahan AS$225 juta RM722 juta sepanjang konflik ini untuk pembelian sistem peluru berpandu, Iron Dome.