Friday 8 August 2014

PBB sedia bina semula Gaza buat kali terakhir


BEBERAPA orang kanak-kanak Palestin duduk di atas sisa runtuhan rumah mereka sekembalinya mereka ke bandar Beit Hanun yang ranap dalam serangan tentera Israel di utara Gaza pada 5 Ogos lalu.
WASHINGTON 7 Ogos - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersedia membangunkan semula Gaza, namun ia adalah buat kali yang terakhir, kata Setiausaha Agung badan dunia itu, Ban Ki-moon, semalam.
Selepas tiga perang di Gaza dalam tempoh enam tahun, beliau memberi amaran bahawa kesabaran dunia de­ngan kedua-dua belah pihak sedang diuji.
"Adakah kita perlu terus begini .... bina, musnah dan bina dan musnah? Kami akan membangunkannya (semula) (Gaza), tetapi ni mestilah buat kali terakhir. Perkara ini mesti dihentikan,'' tegas Ki-moon.
Ketika merasmikan mesyuarat khas Perhimpunan Agung PBB di sini, beliau merayu untuk keamanan yang berkekalan di Gaza, ketika gencatan senjata selama 72 jam antara Israel dan pergerakan Hamas memasuki hari kedua, hari ini.
"Kitaran penderitaan di Gaza dan Tebing Barat begitu juga di Israel mesti dihentikan,'' katanya kepada 193 negara yang menghadiri mesyuarat khas itu.
Dalam perang sebelah pihak selama sebulan di Gaza, sebanyak 1,875 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan Israel di wilayah Palestin itu, manakala di pihak Israel 67 orang terkorban termasuk tiga penduduk awam Israel, dan separuh daripada 1.8 juta penduduk Gaza terpaksa menjadi pelarian bagi menyelamatkan diri.
Berpuluh sekolah dan hospital serta beratus-ratus kediaman penduduk musnah teruk di Gaza dengan Utusan PBB ke Asia Barat, Robert Serry berkata, pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin itu adalah lebih teruk berbanding perang yang berlaku pada 2008-2009 di Gaza.
Ki-moon turut menggesa gencatat senjata di Gaza dilanjutkan dan menegaskan bahawa sebarang perjanjian perlu, bukan sekadar untuk menamatkan perang malah perlu menangani isu `pokok' dalam konflik tersebut.
"Mimpi ngeri selama empat minggu lalu (di Gaza) merupakan satu peringatan dahsyat bahawa hanya satu penyelesaian rundingan politik boleh membawa keselamatan dan keamanan kepada Israel dan Palestin bersama-sama,'' katanya pada perhimpunan khas itu, yang diadakan atas permintaan negara-negara Arab. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140808/lu_04/PBB-sedia-bina-semula-Gaza-buat-kali-terakhir#ixzz39kIhdSEn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment