Friday, 8 August 2014

Tiada jaminan gencatan baru


Seorang pemimpin kanan pejuang Hamas berkata, tiada gencatan senjata baru akan dilaksana di wilayah Palestin itu yang dijadual berakhir hari ini, selagi Israel enggan memenuhi sebahagian daripada tuntutan mereka.

Ismael Radwan berkata, gencatan senjata 72 jam yang dicapai sebelum ini tidak diperbaharui.

“Malah ia tidak boleh diperbaharui tanpa sesuatu pencapaian sebenar.

“Ketika kita bercakap tiada sebarang reaksi diterima mengenai tuntutan Hamas,” katanya.



Gencatan senjata 72 jam itu diusahakan Mesir berkuatkuasa Selasa lalu dan membawa kelegaan kepada penduduk Gaza selepas wilayah itu dihujani bom selama empat minggu.

Media Israel melaporkan negara itu menawarkan lanjutan gencatan senjata tanpa syarat selama 72 jam lagi.

Sementara itu, wartawan al-Jazeera Nicole Johnston melaporkan, media Mesir juga mendakwa gencatan senjata sedia ada boleh dipanjangkan tetapi tidak banyak butiran dapat diketahui.

“Ia bukti betapa sukarnya kedua-dua pihak mencapai persetujuan,” katanya.


Israel menuntut Gaza dibebaskan daripada sebarang pasukan bersenjata, tetapi Hamas yang mentadbir wilayah itu dengan penuh kesukaran sebelum ini menuntut sekatan ke atas mereka ditamatkan.

Hamas juga menuntut warga Palestin yang ditahan Israel dibebaskan.


Kelmarin Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mempertahankan tindakan negaranya menyerang Gaza dan menyalahkan Hamas atas kematian lebih 1,800 orang dalam konflik terbaru kini.

“Setiap kematian orang awam adalah tragedi, tetapi ia adalah tragedi buatan Hamas,” katanya.

Sekurang-kurangnya 1,875 penduduk Palestin - kebanyakannya orang awam dan kanak-kanak - maut dalam serangan ganas Israel sejak 8 Julai lalu.

Antara sasaran tentera rejim Zionis sepanjang perang mereka ialah sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menempatkan pelarian perang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

No comments:

Post a Comment