Oleh Fuad Hadinata Yaacob
Putrajaya: Malaysia mahu masyarakat antarabangsa memainkan peranan lebih berani bagi melindungi dan mempertahankan hak rakyat Palestin serta menamatkan pertumpahan darah di Gaza.
Malaysia juga menggesa Israel menghentikan kekejamannya ke atas rakyat Palestin di Gaza dan meminta Amerika Syarikat (AS) memainkan peranan lebih penting dalam memastikan kestabilan dan keamanan yang berterusan di Gaza.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian itu kepada Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Senat Amerika Syarikat, Ahli Republikan Tennessee Senator Bob Corker ketika menerima kunjungan Corker di pejabatnya di sini semalam.
Dalam pertemuan itu, Muhyiddin menyatakan pendirian dan komitmen Malaysia yang berterusan dan tidak pernah berubah mengenai isu Palestin.
“Kerajaan dan rakyat negara ini menentang dan mengutuk serangan serta segala bentuk kezaliman, penindasan, diskriminasi yang dilakukan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
“Pendirian Malaysia memberisokongan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan rakyat Palestin tidak pernah luntur,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Muhyiddin berkata, Malaysia turut menuntut supaya Israel segera menghentikan pembunuhan kejam beramai-ramai dan perbuatan tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk awam yang tidak bersenjata di Gaza.
Dalam pertemuan itu, Muhyiddin turut menyentuh pelbagai isu terutama kehilangan pesawat MH370 dan MH17 selain Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08
No comments:
Post a Comment