CALIFORNIA 7 Ogos - Kempen memulaukan produk keluaran Israel di seluruh dunia menjadi lebih mudah apabila seorang pakar program komputer dari Amerika Syarikat (AS) tampil dengan ciptaan aplikasi khas telefon pintar untuk mengenal pasti syarikat pengeluar produk.
Ivan Pardo, 26, berasal dari California, menghasilkan aplikasi Buycott untuk telefon pintar versi Android dan iOS kira-kira setahun lalu, untuk membolehkan pengguna mengimbas kod bar produk menggunakan telefon masing-masing dan mengelakkan mereka membeli barangan buatan Israel.
Menurut laporan laman web majalah perniagaan Forbes AS, sejak Israel melancarkan kempen ketenteraan ke atas Gaza pada bulan lalu, pengguna aplikasi Buycott meningkat mendadak terutamanya oleh ahli kumpulan anti-Israel iaitu 'Avoid Israeli Settlement Products' and 'Long Live Palestine Boycott Israel'.
Jelas laporan itu, pada awalnya, hanya beratus-ratus pengguna memakai aplikasi berkenaan tetapi angka tersebut meningkat kepada 220,000 pengguna dan semakin meningkat setiap hari sejak konflik di Gaza tercetus.
Pardo dalam kenyataannya berkata, beliau menyedari peningkatan penggunaan aplikasi ciptaannya sejak tiga minggu lalu tanpa mengetahui perkembangan tersebut disebabkan kempen memulaukan produk Israel.
"Saya dimaklumkan Buycott merupakan antara 10 aplikasi paling banyak digunakan di Britain dan Belanda selain mendapat sambutan hangat dalam kalangan negara di Asia Barat," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140808/lu_05/Aplikasi-khas-boikot-produk-Israel-dapat-sambutan#ixzz39kIt5vUR
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment