Friday 8 August 2014

Aman Palestin rayu masyarakat antarabangsa hulur bantuan


2014/08/08 - 05:27:51
Kuala Lumpur: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Aman Palestin Gaza merayu masyarakat antarabangsa menghulurkan apa juga bentuk bantuan bagi memastikan pembangunan kemanusiaan di wilayah tertindas itu dapat dilaksanakan segera.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Omar Seyam, berkata bantuan segera amat diperlukan kerana penduduk tidak berdosa semakin terjejas hingga sukar mendapatkan rawatan perubatan dan kesihatan serta bekalan makanan asas.


Beliau berkata, penderitaan penduduk Gaza ditambah dengan sikap negara jiran yang tidak mengendahkan isu Palestin, termasuk menghalang misi bantuan NGO masuk ke wilayah terbabit.

“Antara bantuan diperlukan ialah misi perubatan untuk merawat mereka yang cedera, membina semula rumah, bangunan awam yang rosak atau musnah selain kemudahan asas seperti loji air dan jalan raya.

“Bantuan lain ialah menyediakan pasukan bantuan dan pertahanan awam yang lengkap dan bersesuaian dengan situasi di Palestin serta membantu ekonomi golongan sasaran seperti petani, nelayan dan peniaga kecil membina semula kerjaya mereka.

Program psikologi

“Turut dialu-alukan ialah program psikologi untuk kanak-kanak, iaitu mangsa paling teruk kesan serangan tentera Zionis,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook pertubuhan itu, semalam.
Sejak hari pertama serangan agresif Zionis di Gaza mulai 7 Julai lalu, Omar berkata, pihaknya yang bernaung di bawah Aman Palestin Malaysia, sentiasa berusaha menyalurkan bantuan kemanusiaan yang disumbang pelbagai pihak khususnya dari negara ini.

Bantuan bernilai RM3 juta yang disalurkan Aman Palestin setakat ini merangkumi bantuan ubat-ubatan, selimut, peralatan perubatan termasuk kelengkapan unit rawatan rapi (ICU), makanan dan pakaian kepada mereka yeng memerlukan termasuk mangsa yang miskin dan tercedera.

Saluran penyampai berita sahih

 “Sepanjang keganasan Zionis, kami juga menjadi saluran menyampaikan beri-ta sahih mengenai kekejaman tentera Israel kepada masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia menerusi operasi Unit Media Aman Palestin Malaysia di Gaza,” katanya.

Sementara itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama Aman Palestin, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan NGO Islam akan melancarkan kempen ‘Bulan Kemarahan Ummah’ selama sebulan mulai Ahad ini di Taman Tasik Titiwangsa, sebagai tanda solidariti umat Islam Malaysia kepada penduduk Gaza.

No comments:

Post a Comment