KUALA LUMPUR 5 Nov. - Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) meningkatkan program bantuannya bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin dan penduduk Golan Syria yang diduduki melalui penyediaan sumber secukupnya dan pelaksanaan kegiatan operasi berkesan.
Wakil tetap Malaysia di PBB, Datuk Hussein Haniff berkata, ketika rakyat Palestin bertungkus lumus berusaha untuk memenuhi keperluan bekalan air harian mereka, peneroka Israel di Tebing Barat yang diduduki menikmati bekalan air enam kali lebih banyak daripada rakyat Palestin.
"Kami prihatin tentang nasib penduduk Syria di Golan Syria yang diduduki, yang terus menderita akibat penindasan dari segi akses kepada tanah, perumahan, perkhidmatan asas dan peruntukan air," katanya.
Hussein bercakap tentang Agenda Perkara 19: Kedaulatan Berkekalan Rakyat Palestin di Wilayah Palestin yang Diduduki, Termasuk Baitulmaqdis Timur dan Penduduk Arab di Golan Syria yang Diduduki Berhubung Sumber Asli Mereka pada Sidang Ke-69 Perhimpunan Agung PBB di New York semalam.
Kenyataan beliau dihantar kepada Bernama di sini hari ini.
Hussein berkata, Malaysia juga memandang dengan penuh kebimbangan kadar kemiskinan di Tebing Barat, Gaza, terutama di Baitulmaqdis Timur, yang begitu menyedihkan dan pengangguran yang terus mencatat paras terlalu tinggi, khususnya dalam kalangan mereka yang tinggal di Gaza.
"Kadar tinggi pengangguran dan keadaan kerja tidak stabil yang berlarutan sejak sekian lama sudah pasti akan mengakibatkan pekerja hilang kemahiran serta menimbulkan masalah sosial dan ekonomi lain," katanya.
Hussein berkata Malaysia juga mengalu-alukan keputusan Palestin menerima pelbagai konvensyen dan perjanjian antarabangsa awal tahun ini ke arah menjadikan Palestin anggota komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment