Serangan rejim Zionis telah memusnahkan ribuan infrastruktur di Genting Gaza.
Serangan rejim Zionis telah memusnahkan ribuan infrastruktur di Genting Gaza.
LONDON - BRITAIN. Kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International, semalam mendakwa Israel melakukan jenayah perang kerana membunuh ratusan orang awam ketika Operasi Perlindungan Sempadan di Genting Gaza, 8 Julai lalu.

Laporan terbaharu Amnesty mendedahkan rejim Zionis sengaja menyasarkan penduduk atau objek awam ketika perang selama 50 hari tersebut.

Pengarah Program Asia Barat dan Afrika Utara (Mena), Philip Luther berkata, hasil siasatan terhadap lapan kes sepanjang konflik itu berlangsung menunjukkan tentera Israel membedil kawasan kediaman sewenang-wenangnya tanpa memberi sebarang amaran kepada penduduk Gaza.

"Kami menggesa Palestin dan Israel memberi kuasa kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk melakukan siasatan lanjut terhadap dakwaan tersebut," menurutnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Knesset dilaporkan telah meluluskan undang-undang baharu yang mengehadkan pembebasan tahanan Palestin.

Susulan daripada itu, Pengerusi Kelab Tahanan Palestin, Qadoura Fares bertindak menyelar keputusan tersebut kerana ia seakan melanggar syarat ditetapkan Palestin bagi meneruskan rundingan damai bersama Israel, laporan dipetik dari AFP.