Thursday, 12 November 2015

Tentera Israel bunuh sepupu buruan di hospital

Hebron: Pasukan khas Israel menyerbu sebuah hospital di Tebing Barat dan menembak mati seorang lelaki Palestin ketika menahan seorang lagi lelaki yang mereka syaki menikam penduduk Palestin, hari ini.
Tentera Israel mengesahkan serbuan itu dan menahan Abdallah Azzam Shalalda, 27, yang disyaki menikam seorang penduduk Yahudi di Hebron, dua minggu lalu.
Pengarah Hospital Al-Ahly Hebron, Jehad Shawar, memberitahu radio Palestin, antara 20 hingga 30 lelaki tiba dengan dua van, memasuki hospital dengan menolak wanita hamil di atas kerusi roda sebelum mengacukan senjata api kepada kakitangan dan menyerbu masuk bilik Abdallah.
Menurutnya, abang Abdallah yang tidur di katil bersebelahan diikat pada katil dan sepupunya dikenali sebagai Azzam Shalalda yang keluar dari bilik air ditembak beberapa kali.
“Mereka melepaskan lima tembakan, satu di kepala, satu mengenai dada dan tiga pada tubuhnya.
“Mereka meletakkan Abdallah di atas kerusi roda dan keluar dari bilik, menghalang kakitangan hosiptal memberi bantuan kepada lelaki yang ditembak itu,” katanya.
Tentera Israel mendakwa lelaki itu cuba menyerang tetapi tidak memberi maklumat lanjut.
Bilal berkata, sepupunya itu masuk ke bilik air untuk berwuduk dan sebaik dia keluar, seorang tentera Israel menjerit menyuruhnya berhenti dan mereka melepaskan tembakan.
“Mereka memukul kepala adik saya dan membawanya keluar,” katanya.
Jurucakap tentera Israel mendakwa Andallah dan keluarnya, termasuk sepupunya itu ialah anggota Hamas.
Keganasan memuncak di Israel, Baitulmaqdis dan Tebing Barat sejak 1 Oktober. Seramai 12 penduduk Israel diserang, sama ada ditikam atau ditembak dan 76 rakyat Palestin ditembak mati tentera Israel. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 4:28 PM



Azzam Shalalda yang mati ditembak di hospital. - Foto Kementerian Kesihatan Palestin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92554#sthash.EraZKABV.dpuf

No comments:

Post a Comment