Menyamar sebagai orang Arab dalam serbuan buru penduduk Palestin
13 November 2015 12:57 AM
Seorang pegawai keselamatan hospital Al-Ahly memerhatikan kesan darah seorang penduduk Palestin yang ditembak mati oleh pasukan perisik Israel yang melancarkan serangan ke atas hospital itu di Hebron, Tebing Barat, semalam. REUTERS
HEBRON 12 Nov. - Pasukan perisik Israel yang menyamar sebagai orang Arab, menyerang sebuah hospital di bandar Hebron, Tebing Barat dan menembak mati seorang penduduk Palestin dalam satu operasi untuk menahan seorang suspek kejadian tikam, kata Kementerian Kesihatan Palestin.
Tentera Israel mengesahkan serangan tersebut dan menyatakan bahawa mereka menahan seorang penduduk Palestin Abdallah Azzam al-Shalalda, 27, yang disyaki menikam seorang penduduk haram Yahudi berdekatan Hebron dua minggu lalu.
Pengarah hospital al-Ahly, Jehad Shawar memberitahu Radio Palestine bahawa antara 20 hingga 30 lelaki yang tiba di hospital itu menaiki dua van mini bersama seorang wanita yang menyamar sebagai seorang yang sedang sarat untuk melahirkan anak, sebelum menyerang hospital tersebut.
“Mereka mengacu senjata dan menyerbu bilik di mana Abdallah dirawat,’’ katanya.
Adik Abdallah yang sedang tidur di bilik tersebut, Bilal berkata, dia diikat di katil oleh pasukan perisik Israel itu.
Sepupu Bilal yang berada dalam bilik air di wad tersebut ditembak mati sebaik-baik dia keluar dari tandas.
“Dia ditembak sebanyak lima kali, satu das di kepala dan satu das di dada serta tiga das lagi mengenai badannya.
“Mereka kemudian meletakkan Abdallah di atas kerusi roda yang membawa wanita mengandung tadi dan menghalang sesiapa memberikan bantuan perubatan kepada lelaki itu yang terbaring di atas lantai,’’ kata Jehad kepada stesen radio itu.
Tentera Israel mengesahkan seorang lelaki cuba menyerang anggota perisik tersebut tetapi tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai keadaan pemuda tersebut. – Reuters
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/perisik-israel-serang-hospital-1.157672#sthash.yLLBkrrm.dpuf
No comments:
Post a Comment