Friday, 13 November 2015

Israel berang EU label produk


BEBERAPA produk makanan keluaran Israel di sebuah pasar raya di Tel Aviv kelmarin. - AGENSI


BRUSSELS, Belgium – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berang dengan tindakan Kesatuan Eropah (EU) melabel produk keluaran Israel dan menyifatkannya sebagai cubaan menimbulkan sentimen anti-Yahudi seperti era pemerintahan Nazi.
Menurut Netanyahu, EU sepatutnya berasa malu dengan keputusan itu.
Bagaimanapun, EU menegaskan, tindakan berkenaan hanya menjelaskan peraturan sedia ada mengenai tempat asal produk dikeluarkan yang akan dijual di 28 negara.
Mengikut undang-undang EU, barangan kosmetik dan pertanian perlu dilabel tempat asal keluaran produk menyebabkan tertera perkataan 'Penempatan Israel' pada label produk mereka.
Penempatan Israel menrujuk kepada pendudukan haram Yahudi di wilayah Tebing Barat, timur Baitulmuqqadis dan Bukit Golan sejak Perang Enam Hari pada tahun 1967 yang dianggap tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.
Israel dilihat tidak bersetuju dengan rancangan melabel produk yang dicadangkan oleh EU sejak tahun 2012 itu.
"Tindakan EU yang melabelkan produk dari negara Yahudi membawa semula memori hitam. Eropah sepatutnya berasa malu dengan diri sendiri kerana mengambil satu keputusan tidak bermoral.
"Daripada beratus-ratus wilayah yang dilanda dengan konflik di seluruh dunia, ia memilih Israel sahaja ketika negara itu sedang berperang untuk menentang gelombang keganasan. Ini tidak akan membawa keamanan dan keadilan," kata Netanyahu.
Pada September lalu, Netanyahu berkata, rancangan untuk melabel produk keluaran Israel dilihat sama seperti yang dilakukan semasa era pemerintahan Nazi.
Perdagangan dari Israel hanya menyumbang sebahagian kecil antara EU dan Israel, namun membawa simbolik yang penting.
Kementerian Luar Israel berkata, keputusan melabel produk adalah luar biasa dan bersifat diskriminasi selain tidak memajukan proses politik antara Israel dan Palestin.
"Keputusan melabel produk adalah langkah penting yang menuju ke arah memboikot penempatan Israel," kata Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erakat pula. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3rK3XWCLH 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment