KAPAL Marianne Gothenburg semasa berlepas dari Palermo, Itali, baru-baru ini untuk mengetuai Flotila Kebebasan III dalam pelayaran ke Genting Gaza bagi memecah sekatan Israel ke atas wilayah Palestin itu. REUTERS
BAITULMAQDIS 29 Jun - Tentera Laut Israel, hari ini bertindak menggeledah sebuah kapal aktivis pro-Palestin sebelum mengambil alih kapal itu dan mengarahkannya ke pelabuhan Ashdod di Israel, ketika kapal tersebut menyertai flotila kemanusiaan belayar ke Genting Gaza, dalam percubaannya untuk memecah sekatan Israel di wilayah Palestin itu.
Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, selaras dengan undang-undang antarabangsa, tentera laut Israel telah beberapa kali menasihati kapal tersebut supaya mengubah laluan.
“Setelah mereka enggan menukar laluan, Tentera Laut Israel telah menaiki dan menggeledah kapal tersebut di perairan antarabangsa bagi memastikan mereka tidak melanggar sekatan maritim terhadap Gaza,” tambah kenyataan itu.
Pihak berkuasa Israel melaporkan, setakat ini tiada tindakan kekerasan diambil dan proses menahan kapal tersebut berjalan lancar.
Kapal itu kini diiringi ke Pelabuhan Ashdod dan dijangka tiba di pelabuhan itu dalam tempoh 12 hingga 24 jam lagi.
Seorang jurucakap tentera mengesahkan Kapal Marianne Gothenburg dari Sweden itu merupakan sebuah daripada empat kapal yang menyertai Flotila Kebebasan III, yang membawa aktivis pro-Palestin termasuk anggota Parlimen Arab-Israel, Basel Ghattas, bekas Presiden Tunisia, Moncef Marzouki dan juga seorang anggota Parlimen Eropah ke Gaza.
Setakat ini tiada laporan tentang tiga buah lagi kapal yang menyertai flotila itu, namun seorang pemberita yang menaiki Kapal Marianne Gothenburg memberitahu, kapal-kapal tersebut mengekori dari belakang.
“Pelayaran flotila ini tidak lain dan tidak bukan hanya satu demonstrasi hipokrit dan pembohongan untuk membantu Hamas, sebuah pertubuhan pengganas dan mengetepikan semua penderitaan di rantau ini.
“Langkah menghalang kapal itu masuk ke Gaza melalui jalan laut dibuat mengikut undang-undang antarabangsa, malahan kami juga menerima sokongan daripada sebuah jawatankuasa daripada pejabat Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” dakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mengutuk flotila itu dan mengucapkan tahniah kepada tentera Israel yang menahan kapal tersebut. – AFP
No comments:
Post a Comment