TEL AVIV - ISRAEL. Tentera Israel dilaporkan telah memulakan latihan ketenteraan di kawasan sekitar Genting Gaza, kelmarin dan dijangka berterusan selama seminggu.

Menurut laporan Press TV, jurucakap kerajaan memaklumkan latihan ketenteraan itu kononnya bertujuan untuk memastikan pasukan tentera mereka berada dalam keadaan siap siaga terhadap sebarang ancaman di wilayah tersebut.

Difahamkan, pelbagai peralatan ketenteraan termasuk kereta kebal, unit peluru berpandu turut digunakan dalam latihan terbabit yang dijalankan di kawasan barat gurun Negev berhampiran penempatan haram Sderot.

Sementara itu, pakar ketenteraan di Tebing Barat, Mohammad Masr mendakwa latihan seumpama itu sememangnya telah dirancang lebih awal oleh rejim Zionis.

Awal tahun lalu, tentera Israel turut menjalankan latihan ketenteraan sama di Tebing Barat yang didakwa sebagai sebahagian daripada persediaan mereka terhadap krisis situasi keselamatan di rantau terbabit.

Sehingga kini, Tel Aviv berdepan kecaman kerana melancarkan operasi ketenteraan ke atas Genting Gaza pada Julai lalu yang turut meragut hampir 2,200 nyawa di wilayah tersebut.