Monday 4 August 2014

PM Israel ikrar teruskan serangan


SEJUMLAH pekerja penyelamat mengerumuni sebuah rumah yang musnah akibat serangan tentera Israel di Rafah, Semenanjung Gaza semalam.


BANDAR GAZA - Sekurang-kurangnya 30 penduduk Gaza maut dalam serangan terbaharu Israel semalam selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar meningkatkan tekanan terhadap Hamas.
Dalam jumlah tersebut, 10 mangsa maut selepas tentera Israel membedil sebuah sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Rafah.
Ketika kejadian berpuluh-puluh penduduk termasuk kanak-kanak sedang berbaris sebelum sebutir peluru meriam jatuh di kawasan berhampiran menyebabkan mangsa-mangsa bergelimpangan berlumuran darah.
Tentera Israel menumpukan serangan di kawasan Rafah yang bersempadan dengan Mesir lokasi seorang askar negara itu diculik pejuang Hamas pada Jumaat lalu.
Askar-askar Israel mula berundur dari Genting Gaza semalam selepas menamatkan misi memusnahkan rangkaian terowong Hamas tetapi serangan udara masih diteruskan menyebabkan berpuluh-puluh penduduk Palestin terbunuh.
Stesen Radio tentera Israel melaporkan bahawa sebilangan besar askar negara itu sudah kembali ke negara berkenaan tetapi sebilangan lagi masih ditempatkan di beberapa lokasi strategik.
Lebih 30 terowong dan berpuluh-puluh laluan masuk telah ditimbus atau diletupkan dalam operasi berkenaan.
Serangan terbaru Israel itu menyebabkan jumlah korban di Gaza meningkat kepada 1,708 orang yang majoritinya orang awam manakala seramai 64 askar Israel dan tiga penduduk Yahudi terbunuh dalam konflik yang berlarutan hampir satu bulan tersebut.
Pusat Hak Asasi Manusia Palestin memberitahu bahawa seramai 520,000 terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing akibat peperangan tersebut yang memasuki hari ke-27. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0804&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz39NVdycUq 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment