Monday, 4 August 2014

Kapitalisme, pasaran senjata dan krisis


ZULKIFLI HASAN | .
Pendahuluan

Tatkala Gaza dihujani bom dan peluru, Amerika dilaporkan terus menyalurkan bantuan kewangan dan senjata kepada Israel. Ahli Kongres Amerika memberikan lampu hijau dan menyatakan sokongan penuh kepada rejim zionis. Dilaporkan juga bahawa Rusia dan China telah menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyokong pelan Liga Arab untuk mendesak Presiden Syria Bashar al-Assad supaya berundur dan mengutuk keganasan kezaliman yang berlaku.

Hingga kini dilaporkan ribuan rakyat Gaza dan Syria telah terkorban dan tercedera. Ramai yang tertanya-tanya mengapa dan kenapa negara-negara ini berbuat demikian. Sudah pasti mereka mempunyai sebab dan justifikasi terhadap tindakan mereka ini. Rusia merupakan pembekal senjata dan rakan dagang utama Syria dalam membekalkan pelbagai jenis senjata kepada rejim al-Assad. Begitu juga di Bahrain, dalam keghairahan media barat mengutuk Iran untuk membangunkan tenaga nuklearnya, Amerika dalam masa yang sama telah membekalkan senjata yang besar jumlahnya kepada Bahrain.

Amerika juga pastinya sekutu utama Israel menyalurkan peralatan senjata termodennya dan akan berbuat apa sahaja untuk mengiyakan segala kejahatan rejim zionis. Lihat saja kelengkapan ‘Iron Dome’ Israel yang dibiayai oleh Amerika dengan belanja melebihi USD225 juta. Amerika secara konsisten menjadi penyumbang utama ekonomi dan persenjataan Israel dan ini diketahui dunia.

Krisis merupakan perkara yang sinonim dengan kapitalisme. Bahkan, kapitalisme memerlukan krisis untuk terus relevan. Tanpa krisis, kapitalisme akan runtuh dan tidak akan berfungsi. Itulah antara faktor mengapa berlakunya kitaran krisis ekonomi, krisis kewangan, krisis peperangan dan pelbagai krisis yang lain pada hari ini. Mengetahui perkara inilah, golongan pemodal akan memastikan krisis itu dicipta dan direncanakan secara strategik demi mengaut keuntungan melaluinya.

Begitu juga apa yang berlaku pada hari ini khususnya di Timur Tengah. Dengan sumber kekayaan yang melimpah melalui hasil minyak yang menjadi rebutan dunia, golongan pemodal pastinya telah merencanakan pelbagai krisis dan ancaman yang membolehkan produk senjata mereka dilanggani tanpa had. Dalam erti kata lain, golongan pemodal ini mencipta “PASARAN’ melalui krisis dan peperangan.

Dunia telah menyaksikan bahawa abad ke-20 merupakan abad yang paling kejam dalam sejarah manusia dengan dua peperangan dunia, diikuti lebih 30 tahun perlumbaan senjata, perang teluk, perang Afghanistan, Perang Vietnam, Perang Iran-Iraq termasuk konflik dalaman, revolusi dan sebagainya.

Program Penyelidikan Keamanan, Cornell Universiti di Amerika telah menganggarkan bahawa seramai 231 juta manusia telah terkorban melalui peperangan dan konflik sepanjang abad ke-20. Di antara faktor utama sejarah tragis manusia ini adalah kesan daripada perdagangan senjata. Perdagangan senjata yang sering kali dilihat sebagai langkah memperkuatkan sistem pertahanan dan perbelanjaan persenjataan atas dasar keselamatan sebenarnya hanya mencetuskan konflik dan pertumpahan darah. Dalam erti kata lain, peperangan telah dicipta bukan hanya kerana ideologi tetapi juga berfaktorkan keuntungan.

Melihat kepada signifikannya isu perdagangan senjata dan agenda para kapitalis pengeluar senjata, artikel ini cuba menelusuri dan meninjau realiti perdagangan senjata termasuk menampilkan aktor-aktor pengeluar senjata dan pelanggan tetap kepada saudagar senjata ini di seluruh dunia.  Di samping itu, penulis juga berkongsi sedikit maklumat berkenaan dengan institusi dan badan yang aktif dan komited mengawal dan memantau perdagangan senjata dan juga entiti yang secara komperehensif merekod dan menyimpan data serta statistik perdagangan senjata di seluruh dunia.

Kenali Pengeluar dan Pelanggan Senjata

Adalah tidak mengejutkan bahawa, Amerika merupakan peneraju perdagangan senjata diikuti oleh Rusia, Britain dan Perancis. Maklumat mengenai Perdagangan Senjata dunia boleh diperolehi menerusi Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI) sebuah badan bebas antarabangsa berpengkalan di Sweden yang mengkhusus kepada penyelidikan mengenai perdagangan senjata yang memantau dan mempunyai pengkalan data yang komprehensif mengenai perdagangan senjata dunia. 

Menurut SIPRI, direkodkan bahawa antara 1996-2000 perdagangan senjata dunia dipelopori oleh Amerika, Russia, Perancis yang mewakili 30 peratus, diikuti oleh Britain dan Jerman, 20 peratus dan Belanda, Ukraine, Italy, China, Belarus, Sepanyol dan Israel, 15 peratus. Yang menarik dan pada masa yang sama agak mengejutkan ialah negara-negara pengeluar senjata ini merupakan ahli tetap Majlis Keselamatan PBB iaitu mewakili 85 peratus perdagangan senjata dunia. Sudah pasti fakta ini menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan dan keadilan dalam Majlis Keselamatan PBB.

Dari aspek pengeluar senjata, terdapat tujuh syarikat utama pengeluar senjata di dunia iaitu Lockheed Martin (Amerika) BAE Systems (Britain), Boeing (Amerika), Raytheon (US), General Dynamics (Amerika), dan Thomson-CSF (Perancis). Syarikat-syarikat ini secara aktif mempromosi dan membekalkan senjata di seluruh dunia. Terdapat juga individu pengusaha dan pembekal senjata yang beroperasi membekalkan senjata secara penyeludupan. Victor Bout seorang ikon saudagar senjata dunia yang telah membekalkan pelbagai jenis senjata di serata dunia akhirnya telah ditangkap di Thailand dan diekstradisi ke Amerika.                                                       

Antara 2005-2009, direkodkan bahawa negara utama pengguna dan yang melanggan senjata ialah Taiwan, Arab Saudi, Turki, Korea Selatan, India, Mesir, Israel, Pakistan, Kuwait, Malaysia, Greece, Singapura dan Algeria. Menurut ‘Congressional Research Service’, institusi yang menjalankan penyelidikan untuk kongres Amerika, nilai perdagangan senjata antarabangsa bagi 2010 sahaja telah mencecah USD35 bilion.

Selain daripada senjata berat, isu perdagangan senjata kecil juga perlu diambil perhatian kerana ia juga sangat mempengaruhi dan kerap kali kematian diakibatkan oleh senjata sebegini. Panel Pakar PBB mengkategorikan senjata kecil ini kepada senjata yang digunakan oleh pihak polis dan tentera seperti pistol, rifel, bom tangan, mortar, gas pemedih mata dan lain-lain.                                                       

Senjata kecil ini pada dasarnya bertujuan untuk menjaga ketenteraman awam dan memelihara keamanan. Namun, dunia menyaksikan senjata ini akhirnya sering kali digunakan oleh pihak berkuasa menindas dan menzalimi orang awam. Pengeluar utama senjata seumpama ini ialah China, Russia dan Amerika.

Kajian yang dibuat oleh ‘Graduate Institute of International Studies’ di Geneva menganggarkan bahawa sekurang-kuranya 550 juta pistol dan senjata seumpamanya yang terdapat di dunia iaitu mewakili satu senjata bagi setiap 11 penduduk dunia. ’Small Arms Survey’ yang dijalankan oleh institusi ini pula melaporkan bahawa nilai perdagangan senjata kecil ini adalah melebihi USD7 bilion setahun.                            Ironinya ialah sebanyak USD2.4 bilion telah diperuntukkan pada 2010 untuk pembelian senjata kecil ini seperti gas pemedih mata, kereta perisai dan senjata lain telah dijual kepada negara yang mengalami krisis dan konflik seperti Bahrain, Mesir, Libya, Syria dan Yaman.

Ini menunjukkan bahawa oleh sebab tiadanya undang-undang antarabangsa pengawalan perdagangan senjata yang boleh menghalang penjualan senjata kepada negara-negara yang secara jelas melanggar hak asasi manusia telah mengakibatkan krisis dan konflik yang berterusan di negara-negara berkenaan.

Industri Senjata dan Implikasinya

Persepsi yang selalu menjadi tanggapan umum terhadap persenjataan ialah senjata adalah untuk keselamatan. Bagi negara pengeluar senjata, industri ini dapat menjana ekonomi dan memberi hasil kepada negara termasuk mencipta peluang pekerjaan. Tetapi tahukah anda bahawa sekitar 2,000 orang mati setiap hari akibat dari perdagangan senjata ini.

Industri pembuatan senjata juga tidak banyak menyumbang kepada ekonomi dan sebenarnya tidak menjana peluang pekerjaan yang signifikan. Ini memandangkan industri senjata ini dikategorikan sebagai industri berteknologi tinggi dan tidak memerlukan pekerja yang ramai. Sekiranya dibandingkan antara maslahah dan mafsadah industri ini, didapati terlalu banyak implikasi negatif secara langsung atau tidak langsung melalui urus niaga perdagangan senjata ini.

Jika diteliti dan dianalisis secara telus, hakikatnya perdagangan senjata ini boleh memberikan implikasi yang sangat negatif dan amat berpotensi untuk mencetuskan konflik. Umpamanya pada 1998, terdapat 11 konflik senjata di Afrika. Bagaimana hal ini boleh berlaku? Di antara faktor utama konflik ini ialah pihak yang bermusuhan memiliki armada tentera dan persenjataan yang mencukupi.                                    

Dilaporkan antara 1989-1998, Amerika telah memperuntukkan USD227 juta untuk latihan ketenteraan dan senjata bagi tentera-tentera di beberapa negara di Afrika. Daripada jumlah ini sebanyak USD111 juta digunakan untuk peperangan yang berlaku di Democratic Republic of Congo, Angola, Burundi, Chad Namibia, Rwanda, Sudan, Uganda dan Zimbabwe.

Perdagangan senjata ini juga boleh mempengaruhi dasar dan peruntukan kewangan negara. Peruntukan perbelanjaan untuk persenjataan yang berlebihan akan menjejaskan agenda pembangunan sesebuah negara. Menurut Laporan Setiausaha Agung PBB kepada Majlis Keselamatan berkenaan dengan senjata kecil (S/2008/258) melaporkan bahawa perbelanjaan senjata terutamanya di negara dunia ketiga dan membangun menyebabkan kekayaan negara tidak dapat disalurkan kepada pembangunan sosial. PBB merekodkan bahawa lebih 1 bilion penduduk hidup di bawah paras kemiskinan iaitu pendapatan kurang daripada USD1 sehari sedangkan USD184 setahun diperuntukkan bagi perbelanjaan senjata bagi setiap individu di muka bumi ini.                            

Amat malang kerana fenomena perbelanjaan persenjataan yang keterlaluan ini juga berlaku di negara membangun dan mengalami krisis kemanusiaan. ‘Global Fire Power’, sebuah laman sesawang yang mempunyai pengkalan data mengenai maklumat umum pertahanan negara di dunia, merekodkan tatkala Pakistan dan Mesir dilanda krisis pengangguran dan masalah ekonomi, kedua-dua negara ini telah memperuntukkan jumlah wang yang besar untuk ketenteraan dan masing-masing kini menduduki tangga ke 15 dan 16 dunia dari segi kekuatan angkatan tentera. Lebih mengejutkan lagi ialah daripada jumlah pasaran senjata dunia, 10 negara membangun yang mengalami masalah ekonomi dan kemanusiaan adalah mewakili 60 peratus daripada jumlah pasaran senjata bagi tahun 2003-2010.

Perkembangan perbelanjaan senjata yang berlebihan untuk tujuan keselamatan juga mengakibatkan peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada sektor pembangunan dan kebajikan tidak dapat dimanfaatkan. Sebagai contoh, harga bagi 30 buat jet Sukhoi-30 MKI buatan Rusia ialah USD1.8 bilion. Peruntukan sebanyak ini sebenarnya boleh disalurkan untuk membiayai persekolahan rendah selama setahun bagi 20 juta kanak-kanak. Harga bagi 310 kereta kebal T-90S buatan Russia ialah USD600 juta dan sekiranya wang ini digunakan untuk tujuan kesihatan ia boleh dibelanjakan untuk membiayai pembelian 200 juta ‘insecticide-treated nets; yang mampu mengurangkan kematian akibat malaria.

Nilai bagi 6 buah kapal selam buatan Perancis ialah USD1.8 bilion. Peruntukan sebanyak ini mampu untuk membantu dalam proses rawatan 1.7 bilion kanak-kanak yang mengidap ‘debilitating intestinal worms’ selama 3 tahun. Harga bagi 10 jet pejuang Mirage-2000E buatan Perancis ialah USD325 juta. Dianggarkan wang ini cukup untuk membekalkan vitamin dan mineral yang diperlukan bagi 1 bilion orang selama 10 tahun.

Peruntukan untuk membeli 66 Jet Pejuang Hawk fighter buatan Britain ialah USD1.7 bilion. Perbelanjaan ini hakikatnya mampu untuk membiayai ‘antiretroviral AIDS drugs’ bagi lebih 11 juta pesakit AIDS selama setahun. Fakta dan angka ini kadang-kadang amat menggerunkan kerana kita dapat menyaksikan betapa rakusnya manusia terhadap kuasa hingga sanggup mengenepikan keperluan yang lebih mendesak seperti kesihatan, pendidikan dan pembangunan sosio ekonomi masyarakat.

Antara implikasi negatif yang sering juga terjadi berikutan kegiatan perdagangan senjata ialah meningkatnya indeks rasuah. Perdagangan senjata sering melibatkan pihak tengah, tidak telus, bersifat rahsia dan sangat berpotensi menyumbang ke arah amalan rasuah. Dilaporkan bahawa terdapat lebih 50 peratus tuduhan rasuah melibatkan perdagangan senjata. Amalan industri perdagangan senjata yang tidak telus dan keghairahan pihak tertentu untuk memiliki senjata berteknologi tinggi dan terkini menyemarakkan lagi anasir rasuah yang akhirnya menelan perbelanjaan yang besar bagi bajet sesebuah negara. Berdasarkan kepada faktor ini, seharusnya sesuatu perlu dilakukan bagi memantau industri senjata dan juga mewujudkan satu undang-undang antarabangsa untuk mengawal perdagangan senjata di dunia. Sekurang-kurangnya, undang-undang antarabangsa yang bersifat universal ini akan sedikit sebanyak dapat mengurangkan perdagangan senjata yang tidak bertanggungjawab dan beretika.

Advokasi Pengawalan Perdagangan Senjata

Pada hari ini, didapati tiada satu perjanjian yang bersifat global dan mengikat mengenai pengawalan perdagangan senjata. Gerakan dan aktivisme pengawalan perdagangan senjata ini secara rasminya bermula pada 1997 di New York hasil inisiatif sekumpulan Pemenang Nobel Perdamaian dan ‘International Physicians for the Prevention of Nuclear War’ (IPPNW) yang mengesyorkan untuk mewujudkan Kod Etika Perdagangan Senjata. Selepas kempen dan promosi oleh pelbagai badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil antarabangsa, saranan ini kemudiannya diterima oleh PBB dalam resolusi 61/89 pada 18 Disember 2006.

Tarikh 30 Oktober 2009 menjadi detik sejarah apabila Perhimpunan Agung PBB dengan 151 undi akhirnya telah bersetuju mengguna pakai Resolusi A/Res/64/48 untuk menerima usul ke arah mewujudkan Perjanjian Pengawalan Perdagangan Senjata (Arms Trade Treaty). PBB juga bersetuju untuk meneruskan proses memperincikan perjanjian ini dengan menganjurkan beberapa mesyuarat Jawatankuasa Pemandu pada 2010 dan 2011.

Kini Perjanjian ini berada diperingkat akhir pengemaskinian dan PBB akan menganjurkan konferen khas pada Julai 2012 bagi menggubal Perjanjian atau Instrumen yang bakal mengikat semua negara sama ada pengeluar atau pengguna senjata mengenai undang-undang pengawalan perdagangan senjata.

Secara umumnya, Perjanjian Pengawalan Perdagangan Senjata ini bertujuan untuk menghentikan pertambahan perdagangan senjata, menghalang penyalahgunaan senjata dan menyediakan peruntukan undang-undang bagi mengawal perdagangan senjata.                      

Perjanjian ini akan memastikan senjata tidak berpindah kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Di antara kandungan utama Perjanjian ini ialah sebarang perdagangan senjata adalah tidak dibenarkan sama sekali dan melanggar undang-undang antarabangsa sekiranya melibatkan pihak yang boleh menjejaskan pembangunan sosial dan bertentangan dengan hak asasi manusia. Di antara mekanisme untuk merealisasikan matlamat ini, Perjanjian ini akan menyediakan garis panduan perdagangan senjata secara komprehensif yang perlu dipatuhi oleh semua pihak.             

Perjanjian senjata ini juga akan memastikan bahawa tiada perdagangan senjata yang melibatkan risiko kemanusiaan dan ini termasuk sekiranya perdagangan senjata tersebut bertentangan dengan hak asasi manusia antarabangsa, tergolong dalam jenayah kemanusiaan atau ‘genocide; potensi untuk menjana jenayah terancang dan boleh menjejaskan kedudukan ekonomi sosial dan pembangunan. Setakat ini, gerakan ke arah penggubalan dan termeterainya perjanjian ini hinggi kini dimainkan oleh badan bukan kerajaan terutamanya institusi keagamaan.

Penulis berkesempatan menghadiri program seumpama ini dan telah berinteraksi dengan pimpinan agama dari seluruh dunia bersama-sama merancang gerakan dan strategi untuk mempromosikan aktivisme ke arah keamanan sejagat.                                      

Di Sweden, ‘Swedish Fellowship of Reconciliation’ (SWEFOR) dan ‘Church of Sweden’ sangat giat mengatur strategi dan program bagi memberikan kesedaran terhadap peri pentingnya isu pengawalan perdagangan senjata ini. Di Amerika, ‘Global Youth Network of Religions for Peace’ secara aktif terlibat dalam gerakan mempromosi Perjanjian Pengawalan Perdagangan Senjata ini dan menganjurkan pelbagai program berkaitan.                                                     

Di Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai badan bukan kerajaan dari seluruh dunia dan merangka beberapa agenda gerakan bagi tujuan mempromosi inisiatif Pengawalan perdagangan Senjata ini. Di India, ‘Asian Muslim Action Network’ di antara organisasi yang serius mengatur program bagi tujuan yang sama. Satu Deklarasi menyokong Perjanjian Pengawalan Perdagangan Senjata ini juga telah ditandatangani oleh 40 pimpinan agama dan 70 institusi keagamaan dari seluruh dunia hasil inisiatif SWEFOR, ’Caritas France’, ‘CCFD-Terre Solidaire’ dan ‘Interfaith Working Group of the Control Arms Coalition’ pada 21 September 2011.

Di peringkat Asia Pasifik, satu bengkel intensif telah dianjurkan pada 26-27 Januari di Bangkok dengan melibatkan perwakilan dari seluruh dunia untuk merangka gerak kerja seterusnya. Ini diikuti dengan konferen di Manila yang akan diadakan pada 11-13 Mac 2012. Usaha-usaha sebegini semakin giat dijalankan oleh masyarakat antarabangsa dan sehingga kini ianya mendapat sambutan yang amat baik di seluruh dunia.

Negara Islam Mangsa Kapitalisme

Mahu tidak mahu, umat Islam di dunia perlu mengakui bahawa negara-negara Islam merupakan di antara pelanggan dan pengguna terbesar senjata. Arab Saudi, Bahrain, UAE, Malaysia termasuk negara-negara miskin seperti Pakistan, Syria, Mesir dan Yaman merupakan negara yang berbelanja besar bagi maksud persenjataan. Kerap kali alasan yang sering diberikan atas pembelian senjata ini ialah atas faktor keselamatan. Ada juga yang memberikan justifikasi keselamatan dan ancaman Israel, konflik sempadan dan keperluan pertahanan negara.

Lihat saja situasi di Timur Tengah. Jane Defence Weekly melaporkan bahawa antara 2011-2013 sahaja, negara teluk seperti Arab Saudi, UAE, Qatar dan Oman telah memperuntukkan lebih USD300 billion untuk perbelanjaan senjata. Terkini Algeria juga telah membelanjakan lebih USD7 bilion ringgit untuk persenjataan dengan Rusia terkesan akibat berlakunya ‘Arab Uprising’ di negara Timur Tengah termasuk ancaman Mesir baru-baru ini. Negara-negara teluk yang dibelenggu masalah kemunduran ilmu pengetahuan, sains dan teknologi dan sosial memperuntukkan sedemikian banyak untuk kelengkapan senjata berbanding pendidikan yang tidak sampai 0.5 peratus daripada GDP berbanding negara maju seperti Jepun dan UK yang membelanjakan lebih 2.5 peratus untuk pendidikan.

Mungkin ini antara faktor mengapa Timur Tengah mundur dan dibelenggu konflik berterusan. Dari sudut ekonomi, direkodkan bahawa hampir separuh daripada 57 negara OIC diklasifikasikan sebagai ’Negara Berpendapatan Rendah’ dan ’Negara Miskin dan Tinggi Keberhutangan’. 70-85 peratus umat Islam dikategorikan sebagai ’non-bankable’ dan 50 peratus hidup di bawah garis kemiskinan serta 25 peratus tiada akses pada kemudahan perubatan dan air bersih. Di Tunisia, lebih 40% kadar pengangguran dan lebih 25 peratus dilaporkan sebagai miskin tegar manakala di Mesir, dengan 80 juta penduduk dan lebih 90 peratus adalah Muslim, direkodkan hampir 50 peratus penduduk adalah miskin dan kadar pengangguran juga mencecah lebih 13 peratus.

Namun sekiranya dilihat dan diperhatikan, bahawa sebenarnya tidak terdapat keperluan yang menghambat untuk membeli persenjataan ini secara besar-besaran hingga mengabaikan tangungjawab yang lebih utama.                                       

Bahkan, apa yang berlaku ialah senjata-senjata ini kerap kali digunakan untuk hal ehwal dalaman malahan menzalimi rakyat dan orang awam. Umpamanya di Libya, Mesir dan Syria, pihak kerajaan telah menggunakan senjata yang dibeli bukan untuk tujuan keselamatan negara tetapi atas dasar ingin mempertahankan kuasa dan telah menelan ribuan nyawa rakyatnya sendiri.                                                     

Oleh itu, alasan faktor keselamatan negara untuk berbelanja besar dalam pembelian senjata tidak boleh diterima secara bulat-bulat bahkan boleh dipertikaikan. Sebagai contoh, Amerika merupakan pengeksport utama senjata kepada Mesir termasuk memberikan dana ketenteraan dan persenjataan sebanyak USD1.3 bilion setahun.                                           

Manakala 10 negara pengeluar senjata telah membekalkan senjata kepada Libya semenjak 2005 hingga sekarang iaitu Belgium, France, Germany, Italy, Russia, Spain and the UK. India, Perancis, dan Rusia telah membekalkan bahan letupan dan pelbagai senjata lain ke Syria. Kesannya apa yang dapat dilihat ialah, tragedi kemanusiaan yang telah berlaku di mana kehilangan nyawa ribuan orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita serta kerosakan infrastruktur awam yang hanya memburukkan lagi keadaan di negara-negara yang mengalami konflik dalaman ini.

Kesimpulan

Di antara prinsip utama yang sangat ditekankan oleh Islam ialah keadilan dan pro kepada keamanan. Ini bertepatan dengan firman Allah di dalam surah al Baqarah ayat 190 yang bermaksud: ”Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh”.   

Bahkan dalam ayat yang lain, al-Quran jelas menggariskan kepentingan memelihara keamanan dan memperjuangkan keadilan seperti firman Allah di dalam surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud: ”Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi”.

Nas-nas di atas jelas menunjukkan bahawa adalah menjadi keutamaan kepada umat Islam untuk menegakkan keadilan dan memelihara keamanan.

Fenomena krisis peperangan yang berlaku di dunia pada hari ini bukanlah terjadi secara semulajadi tetapi ia dicipta dan direncanakan secara strategik demi mengaut keuntungan. Golongan pemodal yang didominasi oleh negara pengeluar senjata merupakan aktor utama kepada konflik yang berlaku di seluruh dunia khususnya di Timur Tengah. Konflik di Iraq, di Libya, di Mesir, di Tunisia, di Algeria, Palestine dan lain-lain negara kesemuanya direncanakan oleh pihak berkepentingan secara halus.                                       

Musuh-musuh baru dan ancaman-ancaman dipropagandakan bagi memastikan negara kaya seperti di Teluk termasuk negara miskin seperti Mesir dan Syria terus melanggani senjata yang dikeluarkan oleh pengeluar senjata dunia. Malangnya, negara-negara Islam terus-terusan diperdayakan dan akhirnya mengabaikan aspek lain yang lebih utama seperti pendidikan dan pembangunan sains dan teknologi serta memajukan ekonominya.

Isu perdagangan senjata sama ada secara sah atau haram merupakan perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Di antara punca keganasan dan pembunuhan serta penindasan yang berlaku di seluruh dunia adalah berpunca daripada perdagangan senjata yang tidak beretika. Negara-negara kaya menjadi pengeluar senjata dan menikmati keuntungan yang berlipat ganda melalui penjualan senjata terutamanya kepada negara-negara membangun dan dunia ketiga.                         

Hasil negara yang sepatutnya digunakan untuk tujuan pembangunan terpaksa digadaikan untuk tujuan pembelian senjata atas nama keselamatan. Bahkan dalam konteks negara-negara Islam, alasan ancaman Israel juga kerap kali menjadi justifikasi untuk berbelanja secara besar-besaran membeli kelengkapan senjata. Alasan ini sebenarnya kadang kala adalah bersifat delusi dan khayalan, pada hakikatnya dunia menyaksikan kerap kali senjata yang dibeli ini telah digunakan untuk menzalimi dan menindas rakyat sendiri seperti apa yang berlaku di Mesir, Libya dan Syria. Sudah sampai masanya, umat Islam untuk bangun dari dibuai mimpi ini.

Gerakan pro-keamanan dan mendesak adanya Perjanjian Perdagangan untuk mengawal perdagangan senjata ini perlu diberikan perhatian dan sokongan. Tindakan kerajaan Bolivia, Ecuador, Brazil, Chile, Peru, El Salvador untuk membatalkan semua perjanjian ketenteraan dan perdagangan dengan Israel sebagai protes kepada kezaliman rejim Zionis patut dijadikan contoh sebagai permulaan bermulanya aktivism membantah keganasan. Kesan daripada pemulauan secara berterusan terhadap rejim Apartheid di Afrika Selatan akhirnya meruntuhkan tembok diskriminasi berasaskan bangsa.                                     

Di samping itu, masyarakat antarabangsa juga perlu memastikan bahawa pelaksanaan undang-undang antarabangsa mengenai sebarang bentuk keganasan adalah berpaksikan kepada keadilan dan tidak bersifat partisan serta berpihak. Ianya harus terpakai kepada semua negara di dunia termasuk negara pengeluar senjata dan perhatian serius dan khusus sewajibnya diberikan kepada negara-negara yang kerap kali melanggar hak asasi manusia, mencetuskan konflik serta sering melancarkan keganasan seperti Israel yang secara terus terang tidak menghormati kehormatan Palestin. -HARAKAHDAILY 4/8/2014   

Dr Zulkifli Hasan ialah Exco Shariah Dan Kewangan Islam, ABIM.

No comments:

Post a Comment