Monday 4 August 2014

Gaza, PBB dan rumah sembelihan


HARIS ZALKAPLI | .

IBU pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat, menjadi tempat yang terkait dengan hampir semua konflik menumpahkan darah di seluruh dunia.

Ada keputusan untuk memulakan tindakan ketenteraan diputuskan di sini, terutama yang melibatkan kuasa-kuasa ahli tetap Majlis Keselamatan, seperti yang terbaharu, di Libya semasa kebangkitan pemberontak menentang Muammar Gaddafi.

Keputusan Majlis Keselamatan itu memberi mandat menguatkuasa zon larangan terbang akhirnya membuka jalan kepada konflik lebih dahsyat, dan pertumpahan darah berterusan hingga ke hari ini, walaupun alasannya ialah menghalang pembunuhan oleh pemerintah.

Di PBB juga, di dewan Majlis Keselamatan, tindakan-tindakan terhadap kekejaman Zionis Israel terhalang daripada dikenakan tindakan, akibat perlindungan daripada Amerika Syarikat, salah satu anggota tetap Majlis Keselamatan.

Israel sejak lama dulu dibiarkan melanggar dan mencabul resolusi Majlis Keselamatan, dan tetap akan dilidungi oleh AS. Malah, resolusi yang kritikal terhadap Israel mudah diveto oleh AS, yang kini menjadi satu senarai paling panjang veto oleh ahli Majlis Keselamatan.

Majlis Keselamatan terlibat dan bertanggungjawab dengan pertumpahan darah apabila meluluskan resolusi untuk melaksanakan tindakan ketenteraan. Tindakan ketenteraan ini pula hampir pasti didorong oleh kepentingan kuasa-kuasa besar.

Tetapi, badan dunia ini juga bertanggungjawab apabila tidak bertindak sewajarnya apabila berlaku konflik, seperti yang telah banyak kali disaksikan, yang terkini konflik di Gaza, Palestin.

Di Gaza, semua bentuk kezaliman yang boleh dibayangkan berlaku, dengan restu kuasa besar yang melindungi Israel, dan memberi bantuan untuk Israel terus memperkuatkan kemampuan ketenteraan.

Ribuan nyawa telah terkorban akibat kekejaman Zionis, termasuk sebahagian besar kanak-kanak. Lokasi-lokasi awam turut dibom oleh Zionis, menambahkan kesengsaraan warga Gaza.

Gaza menjadi bukti kelemahan dan ketidakadilan Majlis Keselamatan dan PBB, kerana pelaku kekerasan dilindungi oleh sebuah kuasa besar, dan tindakan terhadap penjenayah secara berterusan dihalang.

Kelemahan Majlis Keselamatan dan PBB secara keseluruhan terus gagal diperbaiki, dan puluhan konflik berdarah berlaku di seluruh dunia tanpa usaha yang serius oleh kuasa-kuasa besar, terutama AS yang memperlihatkan kesungguhan tanpa syarat dalam membela Israel.

Kemudian, pada pertengahan 1990-an, diperkenalkan doktrin Tanggungjawab Melindungi, yang diterima oleh PBB sebagai satu norma baharu masyarakat antarabangsa.

Tanggungjawab Melindungi, dalam bahasa Inggerisnya Responsibility to Protect dengan singkatan popular dan menariknya, R2P, menjadibuzzword terbaharu dalam hubungan antarabangsa.

Dalam perkembangan terkini, doktrin ini paling banyak disebut apabila mengulas konflik di Syria. Kalangan elit dasar luar kuasa besar AS menyebut Tanggungjwab Melindungi menuntut campurtangan di Syria, seperti yang dilakukan sebelum itu di Libya, menerusi resolusi Majlis Keselamatan.

Tetapi, tidak kedengaran penyokong dan pejuang R2P bercakap tentang tanggungjawab masyarakat antarabangsa terhadap warga Gaza, dan kes-kes lain seperti Rohingya di Myanmar.

Apa yang berlaku ini menarik perhatian kepada sejarah bangunan menempatkan ibu pejabat PBB di Manhattan, New York.

Bangunan ini asalnya ialah sebuah pusat sembelihan, yang terbesar di Bandar New York. Bangunan ini kemudian dibeli oleh keluarga Rockefeller, dihadiahkan kepada kerajaan yang kemudian menjadikannya ibu pejabat PBB.

Sangat bertepatan sekali, sebuah rumah sembelihan akhirnya berubah fungsi dan rupanya, tetapi tetap menjadi lokasi "penyembelihan" dihalalkan dan dicetuskan.

Hal ini tidak dapat menerangkan apa yang dilakukan oleh PBB sejak penubuhannya berhubung konflik, dan lebih kepada sekadar satu cerita sejarah yang menarik perhatian.

Tetapi, ia menjelaskan satu kesinambungan lokasi di tebing Sungai Timur di Manhattan itu, daripada rumah sembelihan haiwan kepada rumah sembelihan manusia. - HARAKAHDAILY, 4/8/2014

No comments:

Post a Comment