Monday, 4 August 2014

Sebuah lagi sekolah dibom


enurut pegawai perubatan Gaza, Ashraf al-Kidra, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh manakala 35 lagi cedera dalam pengeboman sekolah itu, yang kedua dalam masa beberapa hari.
Pengarah operasi agensi pelarian Palestin PBB di Gaza, Robert Turner berkata, penemuan awal setakat ini menunjukkan letupan itu hasil serangan udara tentera Israel di kawasan sekolah berkenaan yang menjadi tempat perlindungan kepada kira-kira 3,000 pelarian.

Menurutnya lagi, sekurang-kurangnya seorang petugas PBB turut terbunuh.
Foto
SEORANG petugas perubatan berdiri di celah mayat yang diletakkan di sebuah peti beku sayur-sayuran di Rafah, semalam.
Foto
GAMBAR yang dirakam semalam di sebuah rumah mayat di Rafah menunjukkan mayat bayi dan dua kanak-kanak di dalam petik beku aiskrim. Mereka adalah antara 40 mangsa kekejaman Israel, semalam.

Saksi memberitahu serangan dilakukan ketika rakyat Palestin yang berlindung di situ beratur untuk mengambil bantuan makanan.

Keadaan kelam-kabut berlaku sebaik serangan itu dengan beberapa mayat, termasuk kanak-kanak berlumuran darah, bergelimpangan.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berhampiran menggunakan ambulans dan ada di antaranya yang dirawat di klinik sementara di Gaza.

Sekurang-kurangnya enam kemudahan disediakan PBB termasuk bangunan sekolah yang digunakan sebagai pusat perlindungan pelarian dibom tentera Yahudi sejak pertempuran bermula 8 Julai lalu.

Kekejaman itu mengundang kecaman antarabangsa namun Israel terus memberi alasan bahawa serangan itu sebagai tindak balas terhadap serangan roket pejuang Palestin.

Pertempuran yang berlanjutan hampir sebulan itu menyaksikan kematian membabitkan lebih 1,700 rakyat Palestin, hampir semuanya orang awam dan 70 rakyat Israel yang hampir semuanya tentera rejim itu.

Dalam perkembangan sama, Israel membedil beberapa kawasan di Gaza dengan meriam yang disasarkan pada dua bangunan pejabat.

Ashraf berkata, 30 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan awal pagi itu, termasuk sembilan orang yang terkorban dalam satu bedilan di selatan Gaza.

Rejim Zionis itu berkata, tenteranya melancarkan 180 serangan semalam.

Sementara pertempuran berterusan, beberapa kereta kebal dan kenderaan milik Israel dilihat meninggalkan bandar itu.

Dalam kenyataan disiarkan televisyen Israel, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memberitahu, tentera negara itu akan menilai semula operasi mereka selepas menyempurnakan tugasan memusnahkan terowong yang digunakan Briged Izuddin Al-Qassam berhampiran sempadan.

Jumlah tentera Yahudi yang berjaya dibunuh meningkat kepada 64 orang selepas rejim berkenaan mengesahkan, seorang tenteranya, Leftenan Hadar Goldin, 23, yang mulanya dikatakan ditawan pejuang Palestin, terbunuh dalam pertempuran. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

No comments:

Post a Comment