Monday 4 August 2014

30,000 warga AS protes kecam Israel


WASHINGTON 3 Ogos - Beribu-ribu penduduk Amerika Syarikat (AS) berhimpun di hadapan White House bagi membantah tindakan AS memberi sokongan kepada Israel yang terus melancarkan operasi ketenteraan ke atas penduduk Palestin di Gaza.
Lebih 30,000 penduduk AS dari seluruh negara menyertai protes itu dengan berarak di jalan raya dan berhimpun sekitar White House dan pusat bandar Washington.
Perhimpunan kali ini merupakan yang terbesar sejak rejim Zionis Israel memulakan serangan ke atas Gaza pada 8 Julai lalu, menurut laman web A.N.S.W.E.R., yang juga penganjur bersama perhimpunan tersebut.
"Ia merupakan satu perhimpunan yang luar biasa dengan jumlah penunjuk perasaan yang besar," kata jurucakap polis, Araz Alali, yang dipetik akhbar Washington Post.
Kumpulan penunjuk perasaan turut melaungkan slogan, 'Bebaskan Palestin, membunuh kanak-kanak adalah satu jenayah,' sambil membawa bendera dan sepanduk yang tertulis 'Penjajahan ialah satu jenayah-Iraq, Lebanon dan Palestin,' 'Hentikan keganasan Israel' dan 'Tiada keadilan, tiada keamanan'.
Tunjuk perasaan itu dianjurkan melalui dalam talian oleh pelbagai badan gabungan melibatkan lebih 40 kumpulan aktivis anti-perang dan keamanan termasuk A.N.S.W.E.R., Gabungan Yayasan Kebebasan Masyarakat Islam Amerika dan Majlis Kebangsaan Arab Amerika.
"Gaza tidak akan mati dan ia tidak pernah mati," kata seorang penunjuk perasaan, Amar Jamal ketika berarak menuju ke pusat bandar Washington.
"Kini tiba masanya untuk membentuk keamanan kerana Israel tidak akan berhenti membunuh di Gaza. Semua negara Asia Barat akan berada dalam kesusahan jika pertumpahan darah di Palestin tidak dihentikan," demikian kata seorang warga emas berusia 70 tahun. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140804/lu_03/30000-warga-AS-protes-kecam-Israel#ixzz39MxCmTrO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment