Monday, 4 August 2014

Didodoi ledakan bom


Amat meruntun jiwa apabila melihat kanak-kanak seawal usia tujuh tahun menzahirkan perasaan mereka menerusi lukisan yang jelas menggambarkan kesedihan apabila kehilangan tempat berlindung termasuk orang-orang tersayang.
Pastinya, saya yakin bahawa keadaan kanak-kanak di Malaysia terlalu jauh berbeza dengan anak kecil di bumi Palestin. Mana tidaknya, kanak-kanak Palestin sejak dari bayi sudah mendengar raungan tangis, mendengar bedilan bom dan kehilangan dakapan ibu bapa yang disayangi.

Apa yang saya ingin kongsi dengan pembaca adalah pengalaman saya apabila menjalankan satu program dengan kanak-kanak Palestin beberapa hari lalu.
Program itu mudah, saya menyuruh mereka melukis apa saja yang mereka inginkan bertujuan untuk menghilangkan rasa ‘kehilangan’ mereka dan melenyapkan sedikit rasa takut terhadap serangan kejam rejim Zionis.

Namun, rata-rata kanak-kanak menzahirkan lukisan bercorak sedih apabila melakar rumah dibom, ibu bapa serta saudara yang meninggal dunia termasuk ada yang melukis bangunan sekolah mereka yang dibom.

Tidak dapat saya gambarkan bagaimana perasaan ketika itu, ia memang suasana atau pemandangan yang sangat meruntun hati. Mereka ini anak kecil, terlalu awal untuk merasai kesedihan atau kehilangan, namun, mereka bisa berdepan dengan keadaan itu yang saya fikir, saya sendiri tidak mampu harungi.
Foto
JENAZAH seorang kanak-kanak perempuan yang terbunuh bersama ahli keluarga yang lain dalam serangan udara Israel dipangku ahli keluarga yang meratap pemergiannya ketika pengebumian di Rafah, Gaza, semalam.
Sejak tercetusnya Perang 10 Ramadan ini beberapa minggu lalu, kebanyakan kanak-kanak serta rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal akan berlindung di Masjid Umari al-Khabis, Gaza Tengah, sementara menunggu keadaan kembali aman.

Pada hari pertama serangan, seramai 250 orang berlindung di masjid terbabit dan kini sudah ada 1,000 orang. Bayangkan, bagaimana keadaan mereka berhimpit di situ sedangkan masjid itu tidaklah sebesar mana.
Tetapi, saya tetap kagum kerana pihak gereja Kristian yang berada berhampiran dengan masjid berkenaan menawarkan perlindungan kepada rakyat Palestin. Inilah yang dikatakan menghormati setiap agama dan bukannya menindas seperti yang dilakukan rejim Zionis.

Masjid Umari al-Khabir sememangnya di bawah pemantauan langsung daripada persatuan saya iaitu From Gaza With Love. Berdasarkan pemerhatian saya, pihak gereja bersama orang Islam mempunyai sikap kebersamaan iaitu mereka juga menentang kekejaman Zionis.

Mereka juga mendakwa agama Kristian tidak pernah menyuruh penganutnya melakukan kekejaman sesama manusia, sebaliknya, menghormati sesama insan dalam menjalinkan perpaduan secara bersama.

Setakat ini, masjid dan gereja berkenaan adalah tempat paling selamat untuk rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal untuk berlindung, selain itu, mungkin terdedah dengan ancaman maut.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB 7600809829 (Salamah Ahmad Shah) dan bantuan diberi akan disalurkan terus kepada rakyat Palestin.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

No comments:

Post a Comment