• Masjid Umar Abdul Aziz yang dibina menggunakan sumbangan rakyat Malaysia kini menjadi masjid paling cantik di Gaza.Masjid Umar Abdul Aziz yang dibina menggunakan sumbangan rakyat Malaysia kini menjadi masjid paling cantik di Gaza.

KUALA LUMPUR – Agaknya jika Malaysia dilanda peperangan, apa keperluan yang paling kita mahukan? Makanan? Ubat? Tempat tinggal?
Bagi penduduk Palestin di Gaza, mereka mahukan masjid.
Kerana di situlah semangat perjuangan mereka dicambah, di situlah jiwa-jiwa para syuhada dilahirkan.
Jadi apabila sembilan daripada puluhan masjid yang musnah dibedil roket rejim Israel semasa Perang Gaza pada 2008-2009 didirikan semula dan diperbaiki melalui sumbangan rakyat Malaysia, kegembiraan rakyat Gaza tidak terungkap dengan kata-kata.
“Mereka jatuh cinta dengan rakyat Malaysia,” menurut Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Mohd Azmi berkata, bagi penduduk Gaza, masjid bukan hanya untuk beribadat, tetapi tempat mencari ketenangan dan kekuatan untuk melawan musuh Islam, dan di situlah masa depan Palestin dibincangkan.

“Pernah sekali semasa kami (rombongan Mapim) sedang bersolat Jumaat di sebuah masjid di Gaza, tiba-tiba terdengar bunyi bom digugurkan. Kami delegasi Malaysia terus panik.

“Tetapi jemaah Palestin begitu tenang sekali. Bagi mereka, jika bedilan itu ditakdirkan terkena masjid itu dan mereka terkorban, ia adalah satu kematian yang mulia,” katanya.

Menurut Mohd Azmi, serangan terbaharu rejim Israel ke atas Gaza sejak bulan lalu memusnahkan sebuah surau dan merosakkan dua masjid yang dibina menggunakan sumbangan rakyat Malaysia.
"Mapim memang sedih (dengan kemusnahan itu) tetapi semangat kami masih tinggi," katanya.
Katanya, setiap masjid di Gaza melahirkan 200 hafiz al-Quran selain menjadi pusat pendidikan agama.
Fokus bina masjid di Gaza
Menurut Mohd Azmi, projek pembinaan semula masjid di Gaza bermula pada 2010 apabila rombongan Mapim memasuki wilayah itu dalam satu misi kemanusiaan.
Menurutnya, daripada 800 masjid di wilayah itu, 32 rosak teruk atau musnah sepenuhnya dalam Perang Gaza pada 2008-2009.

“Kita pilih untuk bantu bina semula masjid kerana masjid amat penting bagi mereka. Walaupun ada keperluan lain seperti kesihatan, mereka kata masjid ibarat ibu penggerak masyarakat di sana,” ceritanya.

Mapim kemudian memulakan projek masjid berkembar antara masjid di Gaza dengan di Malaysia, dengan projek pertama membabitkan Masjid An-Nasr di Gaza dan Surau An-Nur di Bangi, Selangor.

“Bagi Masjid An-Nasr, kosnya ialah RM1.2 juta dan siap dalam tempoh setahun,” katanya.

Menurut Mohd Azmi, wang pembinaan masjid itu yang dikumpulkan melalui penjualan sijil wakaf Mapim di seluruh Malaysia dihantar sebanyak 10 kali secara ansuran, selepas setiap fasa pembinaan hampir selesai.

“Pembinaan masjid itu menguatkan rasa perjuangan Palestin di Malaysia dan kefahaman mengenai perjuangan Islam di Palestin.

“Semua masyarakat di situ berbangga dengan Masjid An-Nasr, sumbangan Malaysia yang tidak dapat dilupakan. Bila sebut Malaysia, mereka rasa inilah negara yang boleh bantu (Palestin),” katanya.
Guna sistem tender terbuka

Kejayaan projek pembinaan Masjid An-Nasr itu membawa kepada permintaan kedua dari Gaza pada akhir 2012 untuk membantu membina sebuah lagi masjid yang dihancurkan Zionis.

Masjid dikenali sebagai Masjid Umar Abdul Aziz itu kemudian dikembarkan dengan Masjid Al-Falah, Subang Jaya.
“Masjid ini sangat besar, 2,000 orang boleh muat dan sekarang menjadi masjid paling cantik di Gaza. Ia dibina oleh 12 orang sahaja tenaga buruh, ambil masa tidak sampai setahun dan kosnya RM1.9 juta,” katanya.

Mohd Azmi berkata, penduduk di Gaza berusaha menyiapkan masjid dalam tempoh singkat untuk membuktikan kepada penyumbang bahawa mereka serius untuk membangunkan semula hidup mereka yang dimusnahkan rejim Israel.
Apa yang lebih menakjubkan di sebalik pembinaan masjid di Gaza ialah etika kerja orang Palestin yang boleh membuatkan ramai orang Islam lain termalu sendiri.

Di sebalik kepayahan hidup yang tidak dapat dibayangkan, mereka tidak kisah menerima bayaran ala kadar untuk membina masjid kerana bagi mereka bekerja sebagai buruh membina masjid bukan sumber pencarian tetapi satu kemuliaan dan sumbangan kepada
masyarakat di sana.

Dan setiap kontrak untuk membina masjid di Gaza diberikan melalui tender terbuka kepada syarikat pembinaan di wilayah itu.

“Mereka dipilih berdasarkan harga rendah dan pengalaman kerja,” menurut Mohd Azmi.

Dua negara saling mengagumi

Kini, terdapat sembilan masjid di Gaza yang telah dibina semula atau diperbaiki hasil sumbangan rakyat Malaysia bernilai RM4 juta manakala dua lagi masjid sedang dalam pembinaan.

Beliau berkata, orang Gaza kini memiliki rasa persaudaraan Islam yang tinggi dengan rakyat Malaysia yang mereka ketahui sangat aktif dalam perjuanganPalestin.
“Walaupun negara Arab dapat beri (bantuan kewangan) jauh lebih banyak tetapi itu daripada kerajaan.

“(Di) Malaysia ini berlainan. Mereka (penduduk Gaza) rasa (bantuan) ini betul-betul datang daripada orang ramai,” katanya.

Ungkapan yang selalu didengari di Gaza, menurut Mohd Azmi ialah bukan bantuan dalam bentuk fizikal yang terlalu dimahukan penduduk Gaza tetapi lebih kepada rasa kebersamaan yang membuktikan orang Islam lain tidak lupa kepada mereka.

“Jika mereka keluar dari Palestin untuk belajar atau bekerja, pilihan pertama mereka ialah Malaysia,” katanya membuktikan sentimen positif terhadap Malaysia yang begitu kuat di Gaza.