Sunday 3 August 2014

Hamas nafi culik askar Israel





BANDAR GAZA - Pergerakan Hamas semalam mengaku bertanggungjawab dalam satu serangan hendap yang membunuh dua askar Israel di selatan Rafah kelmarin yang didakwa Israel melanggar gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagaimanapun, kumpulan sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam dalam satu kenyataan memberitahu bahawa, serangan tersebut berlaku sebelum gencatan senjata itu dikuatkuasakan sekali gus kumpulan itu tidak melanggar perjanjian yang dipersetujui.
Tentera Israel sebelum ini mendakwa beberapa pejuang Palestin yang menyusup melalui terowong menyerang beberapa askar Yahudi di selatan Rafah kira-kira pukul 9.30 pagi waktu Gaza iaitu satu jam setengah selepas gencatan senjata dikuatkuasakan.
Serangan tersebut menyebabkan dua askar Israel maut manakala seorang lagi askar yang dikenali sebagai Leftenan Hadar Goldin (gambar) dipercayai telah ditawan.
Hamas juga menafikan para pejuangnya menawan askar berkenaan dan memberitahu bahawa askar berkenaan mungkin telah mati akibat serangan tentera Israel di Rafah sebagai tindak balas terhadap serangan hendap tersebut.
Serangan hendap oleh pejuang Palestin itu yang menyebabkan Israel membedil Rafah yang menyebabkan 150 penduduk di kawasan tersebut terbunuh.
Israel kemudiannya mengumumkan gencatan senjata selama 72 jam tersebut telah berakhir hanya beberapa jam selepas ia dikuatkuasakan.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon juga mendesak askar berkenaan dibebaskan dengan segera tanpa sebarang syarat.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0803&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz39IlfeEHa 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment