Saleh Jadallah berkata serangan yang sedang dilakukan ke atas Gaza yang mengorbankan lebih 1,700 nyawa penduduk Palestin sejak 8 Julai adalah serangan terburuk pernah dialaminya.
"Tidak syak lagi perang ini adalah yang terburuk pada penilaian saya berdasarkan jumlah kematian, kemusnahan, krisis tenaga, kekurangan bekalan makanan dan jumlah penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
"Sebenarnya, tiada tempat yang selamat di Gaza," katanya menerusi email kepada Bernama.
"Penduduk yang tinggal di dalam rumah dijadikan sasaran.
"Jika mereka berlindung di sekolah PBB, mereka akan dihujani peluru berdasarkan beberapa insiden. "Berjalan dan bergerak di jalan menyebabkan mereka terdedah kepada sasaran, beberapa hari lepas 20 penduduk Palestin terbunuh dekat pasar," kata Saleh, 25, petugas sambilan sebuah organisasi media antarabangsa.
Saleh berkata beliau terselamat dua peperangan yang berlaku dalam tempoh lima tahun namun tidak pasti sama ada beliau akan terus berjaya mengharungi konflik yang sedang melanda ini.
"Isteri dan anak lelaki saya sentiasa bimbang tentang diri saya setiap kali saya keluar bekerja.
"Saya merasai perkara serupa apabila saya meninggalkan mereka di rumah. "Kami mengucapkan selamat tinggal setiap hari apabila kami berpisah, tiada siapa pun dapat menelah suratan takdir.
"Saya berusaha sedaya upaya untuk sentiasa berada bersama mereka, kerana saya perlu menenangkan dan menjaga mereka," kata Saleh yang mendirikan rumah tangga pada Februari tahun lepas. Anak lelakinya berusia sembilan bulan.
Beliau berkata penduduk Gaza "percaya mereka kian menghampiri kematian sejak lapan tahun lepas ketika berada dalam kepungan (ke atas wilayah kecil Palestin)" yang dikuatkuasakan oleh rejim Israel.
"Mereka sekarang tidak rugi apa-apa jadi mereka terus berusaha berhabis-habisan sehinggalah kepungan itu ditarik balik, itulah yang dikatakan oleh berpuluh-puluh penduduk yang saya wawancara," kata Saleh.
Ditanya perasaannya tentang perhimpunan besar-besaran yang dihadiri beribu-ribu rakyat Malaysia di Kuala Lumpur semalam untuk membantah keganasan Israel terhadap penduduk Palestin, beliau berkata penduduk di Gaza memandang tinggi kepada Malaysia.
"Saya ada ramai kawan Malaysia dan saya faham sangat bagaimana mereka begitu mengambil berat tentang orang awam Palestin.
"Mereka juga seringkali menjadi orang pertama menawarkan segala bentuk bantuan untuk kanak-kanak, wanita dan keluarga mangsa di sana.
"Ramai penduduk Gaza di sini menghormati pendirian Malaysia malah lebih daripada negara Arab.
"Pandangan saya sentiasa tetap bahawa sungguhpun Malaysia dan Palestin terpisah dari segi geografi namun jiwa kita bersatu... rakyat Malaysia dan Palestin adalah satu," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment