- Ammam Shahwan
Rata-rata peserta himpunan yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan juga warga asing berkumpul seawal jam 2 petang bagi menunjukkan sokongan moral terhadap penduduk di Palestin dan membantah serangan Israel ke atas penduduk Gaza.
Seorang warga Palestin, Ammam Shahwan, turut menyertai himpunan aman Gaza hari ini melahirkan rasa syukur terhadap masyarakat Malaysia dan Eropah sering membantu rakyat Palestin dan lantang mengkritik kekejaman Israel.
"Alhamdulillah, kesemua rakyat Palestin tidak kira sama ada golongan muda dan tua amat berterima kasih terhadap sokongan dan bantuan yang dihulur kepada rakyat kami di Palestin.
"Orang Malaysia sanggup tolong Palestin lebih daripada masyarakat Arab sendiri," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.
Menurut pelancong asing, Emanuela Botti, kekejaman yang dilakukan terhadap Palestin merupakan sesuatu yang tidak dapat dimaafkan oleh mana-mana pihak.
"Apa yang berlaku di Gaza adalah sesuatu yang sangat dahsyat, tidak ada sesiapa pun sepatutnya melakukan serangan seperti itu. Kita semua harus lakukan sesuatu untuk hentikan serangan tersebut," katanya.
Walau berbeza agama, dia tetap mendoakan kesejahteraan dan keselamatan penduduk Gaza di Palestin.
Bagi peserta himpunan, Mohd Azlie Adnan, tujuan himpunan aman ini dianjurkan untuk memupuk kesedaran penduduk di negara ini bagi membantu umat Islam di Palestin.
"Rakyat Malaysia perlu tahu dan sedar mengenai azab yang dilalui penduduk dan rakyat Palestin di sana.
"Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, saya hanya mampu menyumbangkan tenaga, dan wang ringgit sahaja," katanya kepada Sinar Online.
Dia juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Palestin yang bersungguh-sungguh mempertahankan Masjid al-Aqsa di Palestin.
Bagi seorang lagi penduduk Palestin pula, Alaa Abdulwahid, serangan yang dilakukan tentera Zionis terhadap penduduk Gaza boleh disifatkan sebagai satu jenayah antarabangsa.
"Kami datang ke sini hari ini adalah untuk memberikan sokongan moral kepada saudara-mara kami di Palestin, terutamanya di Gaza.
"Ini bukan kali pertama berlaku. Rakyat Malaysia dan kerajaan sentiasa berikan sokongan moral terhadap isu seperti ini," katanya.
Menurut Farah Najwa Mohd Fariz, Israel bukan sahaja melakukan penindasan secara terang-terangan, malah tenteranya turut membunuh wanita dan kanak-kanak di Gaza dengan kejam.
Menurutnya lagi, pemboikotan barangan Israel boleh membantu merencatkan operasi serangan yang dilancar oleh Israel.
"Ini bukan sahaja misi keagamaan malah ini merupakan misi kemanusiaan.
"Alhamdulillah, memang dari dulu saya dan keluarga tidak membeli barangan Israel. Saya harap dengan sokongan dan himpunan yang sudah diusahakan ini, InsyaALLAH, ALLAH akan bantu orang-orang di sana," katanya.
No comments:
Post a Comment