GAZA CITY 2 Ogos - Tentera Israel melancarkan gelombang kedua keganasan dengan memperhebatkan serangan udara dan darat ke atas Gaza selepas menuduh pergerakan Hamas menculik seorang pegawai askarnya, sekali gus memusnahkan gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.
Sekurang-kurangnya 114 penduduk Palestin terkorban dalam tempoh 24 jam, semalam setelah Israel memperhebatkan serangan ke atas Gaza hanya beberapa jam selepas gencatan senjata selama 72 jam dikuatkuasakan dengan jumlah korban terbesar sebanyak 57 orang dalam serangan udara di Rafah, selatan Gaza, malam tadi, lokasi yang didakwa oleh Israel di mana Hamas menculik Leftenan Hadar Goldin, 23, selepas membunuh dua lagi askar rejim Zionis itu.
Menteri Keadilan Israel, Tzipi Livni selepas menghadiri mesyuarat Kabinet Israel, semalam menuduh Hamas bertanggungjawab menahan askar Israel itu dan memberi amaran Hamas akan menerima padah atas perbuatan itu.
Hamas bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Israel itu, yang dilihat sebagai provokasi terbaharu rejim Zionis itu untuk meneruskan serangan ke atas Gaza dan mencabuli gencatan senjata.
Sementara itu, tentera Israel terus mencabuli hak asasi manusia apabila mengebom sebuah masjid di Jebaliya, utara Gaza serta kediaman penduduk awam Palestin di kawasan pantai.
Namun tidak dapat dipastikan jumlah korban dalam serangan tersebut.
Tentera Israel turut membedil sebuah ambulans di Gaza, mengakibatkan tujuh orang termasuk pegawai perubatan terbunuh dan merupakan ambulans ke-13 diserang oleh Israel sejak rejim Zionis itu mengempur Gaza pada 8 Julai lalu.
Angka korban di Gaza sejak konflik tercetus pada 8 Julai lalu meningkat kepada 1,650 orang dan lebih 8,700 lagi cedera, kebanyakan mereka penduduk awam Palestin, manakala 66 orang askar Israel terbunuh termasuk tiga penduduk awam Israel.
Sementara itu, Setiausaha Negara AS, John Kerry berkata, usaha untuk melaksanakan gencatan senjata baharu sedang diusahakan apabila wakil Israel dan Palestin, termasuk Hamas akan memulakan rundingan di Kaherah, Mesir.
Bagaimanapun, pergerakan Palestin, Islamic Jihad melaporkan, kerajaan Mesir menangguhkan rundingan itu selepas menerima berita kehilangan askar Israel walaupun Kaherah berkata, usaha perbincangan awal tetap diteruskan.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam pada itu berkata, satu delegasi khas yang turut melibatkan wakil Hamas dan Islamic Jihad akan dihantar ke Kaherah, hari ini walaupun pertempuran masih berterusan. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140803/lu_03/Israel-perhebat-serangan#ixzz39H6rdvH3
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment