Sunday, 3 August 2014

‘Moral mereka sudah tewas’



Kuala Lumpur: “Nama pejuang Briged Izzuddin Al-Qassam sudah cukup menggerunkan mereka. Hakikatnya, moral mereka (tentera Zionis) sudah tewas dalam peperangan ini,” kata bekas pengarah perhubungan luar Kementerian Pendidikan Palestin, Ahmad Annajar.

Dia yang pernah membawa wartawan bertemu pejuang Al-Qassam di Tebing Gaza sebelum ini berkata, gerombolan tentera Al-Qassam membuktikan mereka sangat kental dan mampu memberi tentangan sengit terhadap lebih 100,000 tentera Israel sejak penempatan Palestin di Tebing Gaza dihujani roket dan bom 8 Julai lalu.


Dia mendakwa, sejumlah 25,000 anggota Briged Izzuddin Al-Qassam mampu bertahan terhadap asakan dan serangan senjata berat disasarkan tentera rejim Zionis, sama ada dari darat, laut dan udara.

“Bilangan pejuang Al-Qassam sangat kecil jika dibanding dengan lebih 100,000 tentera Zionis. Kami tidak punya kelengkapan pesawat pejuang F-16, kereta kebal Merkava atau roket Jericho. Namun itu tidak bermakna kami mudah ditewaskan mereka (rejim Zionis).


“Mereka seperti melawan bayang-bayang. Pejuang Qassam akan muncul dan hilang sekelip mata. Ini jelas sangat menakutkan mereka,” katanya yang pernah menjadi jurubahasa Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh sebelum ini.


Menurutnya, walaupun dilengkapi pelbagai senjata moden, tentera Zionis masih gagal menewaskan pejuang Briged Izzuddin Al-Qassam, apatah lagi menakluk Tebing Gaza.

“Tentera Al-Qassam dianggap mereka tidak ubah seperti ‘tentera hantu’. Mereka gagal membunuh ramai pejuang Al-Qassam. Jumlah yang terkorban hanya sedikit. Ini jelas perlindungan dan bantuan daripada Allah SWT,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

No comments:

Post a Comment