Sunday, 3 August 2014

Gaza: Kelab Putera hantar ubatan ke Mesir dahulu


2 Ogos 2014


KUALA LUMPUR - Berdasarkan keadaan tidak menentu di Tebing Gaza ketika ini, Kelab Putera 1Malaysia akan menghantar bekalan ubat-ubatan untuk disimpan sementara waktu di kedutaan Malaysia di Mesir sementara menunggu kelulusan masuk ke kawasan bergolak itu.

Naib Presidennya Datuk Mohd Farid Hassan berkata situasi genting saban hari itu turut menjejaskan persiapan kelab berkenaan untuk ke kawasan bergolak tersebut bagi menghantar sendiri bekalan kepada penduduk Gaza.

"Bekalan itu akan dihantar dalam masa terdekat namun akan disimpan dahulu di Mesir sebelum rombongan kita mendapat tarikh sah dan kelulusan ke sana.

"Kita akan cuba menghantar bekalan keperluan lain seperti makanan dan pakaian selepas ini. Bekalan perubatan sangat diperlukan keadaan ketika ini," katanya kepada pemberita ketika hadir di perhimpunan aman 'Selamatkan Kanak-Kanak Gaza' di sini hari ini.

Menurutnya pasukan awal kelab itu merancang ke Gaza 6 Ogos ini sebelum disusuli pasukan kedua pada 12 Ogos, namun sehingga kini belum mendapat kata putus berikutan situasi tidak menentu di Gaza.

Dilapor sehingga kini rejim Israel telah membunuh hampir 2,000 penduduk Palestin dan mencederakan kira-kira 9,000 orang dengan alasan "mempertahankan diri" daripada serangan tentera Hamas. - Bernama

No comments:

Post a Comment