Sunday, 3 August 2014

Blogger Yahudi mahu tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dipertimbangkan

Seorang blogger Israel dihentikan perkhidmatan dan artikelnya diturunkan dari laman web The Times of Israel dan 5 Towns Jewish Timesselepas dia menyeru untuk satu tindakan “pembunuhan beramai-ramai” ke atas rakyat Palestin di Gaza dipertimbangkan, lapor portal berita Haaretz.

Blogger Yochanan Gordon dalam artikelnya bertajuk  "When genocide is permissible" atau “Apabila pembunuhan beramai-ramai itu dibenarkan”, menggesa cadangan itu dipertimbangkan untuk dilaksanakan di Semenanjung Gaza.

“Sekiranya pemimpin politik dan pakar ketenteraan dapat menyimpulkan bahawa satu-satunya cara untuk mencapai matlamat untuk menyelesaikan konflik ini adalah dengan pembunuhan  beramai-ramai, adakah cara ini (pembunuhan beramai-ramai) seharusnya dibenarkan untuk mencapai matlamat itu?” tanya Gordon dalam artikel itu yang dimuatnaik pada Jumaat.

The Times of Israel menurunkan artikel itu beberapa jam selepas ia dinaikkan dan diterbitkan dengan diganti dengan kenyataan “kami tidak menyokong artikel di blog ini yang menghasut keganasan dan perbuatan jenayah.”

Manakala 5 Towns Jewish Times, yang berpangkalan di Long Island dan diasaskan oleh bapa Gordon turut memadam artikel terbabit.

Gordon dikatakan mempunyai akses terus untuk memuatnaik artikelnya ke laman web Times of Israel dan tidak memerlukan editor atau pengarang untuk melakukannya.

Dalam perkembangan terbaru,  angka kematian di pihak tentera Israel kini adalah 64 orang manakala lebih 1,700 lagi terkorban di pihak Palestin dengan ramai daripadanya orang awam sejak rejim melancarkan serangan kejam ke bumi Gaza pada 8 Julai lalu.

No comments:

Post a Comment