Wednesday, 6 August 2014

Tentera Israel berundur dari sempadan Genting Gaza


Sekumpulan tentera Israel daripada Briged Nahal membawa kelengkapan untuk pulang ke Israel dari sempadan Genting Gaza, semalam. - REUTERS
BAITULMAQDIS 5 Ogos - Israel hari ini mengundurkan tenteranya dari Gaza selepas gencatan senjata selama 72 jam yang dianjurkan oleh Mesir, dikuatkuasakan ekoran tekanan global untuk menamatkan konflik tersebut.
Beberapa minit sebelum gencatan senjata itu dilaksanakan, tentera Israel dan pergerakan Hamas masing-masing melancarkan serangan ketika konflik itu memasuki hari ke-29.
Israel mengumumkan semua askarnya telah diundurkan dari sempadan Genting Gaza selepas selesai memusnahkan jaringan terowong yang digunakan oleh Hamas, sekali gus menamatkan operasi darat yang bermula pada 17 Julai lalu.
Jurucakap tentera berkata, anggota tentera Israel kini ditempatkan di luar sempadan Gaza dan akan bertindak balas terhadap sebarang pelanggaran gencatan senjata itu yang diumumkan oleh Mesir semalam.
Gencatan senjata itu merupakan yang kedua dalam tempoh empat hari selepas cubaan terakhir tajaan Washington dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), gagal hanya dalam tempoh 90 minit pada 1 Ogos lalu.
Cubaan terbaharu itu dicapai selepas Palestin yang diwakili oleh Hamas dan Jihad Islam dengan Mesir mengadakan rundingan berhubung gencatan senjata tanpa kehadiran Israel.
Pegawai berkata, delegasi daripada kedua-dua pihak bertelagah akan mengadakan rundingan damai di Mesir dalam beberapa hari ini sebagai usaha menamatkan konflik tersebut.
Gencatan senjata selama tiga hari itu disambut baik oleh AS dan PBB.
Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, satu delegasi akan ke Kaherah hari ini bagi menyertai wakil Palestin dari Mesir dan Qatar.
Israel turut berkata, pihaknya akan menghantar satu delegasi ke ibu negara Mesir selepas pada awalnya enggan menyertai rundingan tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140806/lu_06/Tentera-Israel-berundur-dari-sempadan-Genting-Gaza#ixzz39YcrLQIf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment