Wednesday, 6 August 2014

Gencatan senjata 72 jam


DUA keluarga Al-Bakin memangku mayat dua saudara mereka yang mati akibat serangan tentera Israel di Bandar Gaza semalam.- AP


BANDAR GAZA - Askar-askar Israel berundur dari Semenanjung Gaza semalam dan memulakan gencatan senjata dengan Hamas selama 72 jam yang diusahakan oleh Mesir sebagai langkah awal ke arah rundingan perdaimaian jangka panjang.
Sejurus sebelum gencatan dimulakan pada pukul 8 pagi waktu tempatan semalam, Hamas telah melancarkan beberapa buah peluru berpandu sebagai tindakan balas tentera Israel yang membunuh ramai penduduk Pales- tin.
Sistem antipeluru berpandu Israel yang dikenali sebagai Iron Dome berjaya menembak jatuh salah sebuah roket yang melepasi Baitulmuqaddis, kata polis.
Beberapa buah roket mengenai sebuah rumah di bandar berdekatan Baitulaham yang diduduki Israel di Tebing Barat.
Tiada kecederaan dilaporkan akibat serangan itu.
Pasukan tentera kereta berperisai Israel berundur dari Semenanjung Gaza menjelang gencatan senjata diadakan.
Seorang jurucakap tentera berkata, matlamat utama mereka memusnahkan terowong- terowong yang digunakan oleh para pejuang Palestin untuk merentasi sempadan telah selesai.
"Pasukan tentera dan kereta kebal akan ditempatkan semula di luar Semenanjung Gaza dan kita akan mengekalkan mereka pada kedudukan pertahanan," kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Peter Lerner.
Di Semenanjung Gaza, hampir setengah juta penduduk terpaksa berpindah akibat peperangan dan sebahagian daripada mereka meninggalkan pusat perlindungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk pulang ke kawasan kejiranan masing-masing.
Kebanyakan kediaman itu telah pun musnah.
Seorang bapa kepada empat orang anak, Zuhair Hjaila, 33, yang tinggal di selatan bandar Beit Lahiya berkata, dia kehilangan rumah dan pasar raya yang diusahakannya.
"Ini suatu tindakan pemusnahan yang sebenar.
"Saya tidak pernah terfikir untuk pulang semula dan menemui zon yang seperti dilanda gempa bumi," katanya.
Para pegawai Gaza berkata, sebanyak 1,834 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan Israel itu dengan kebanyakan mereka terdiri daripada orang awam.
Israel pula berkata, sebanyak 64 orang askar dan tiga orang awam terbunuh sejak peperangan berlangsung pada 8 Julai lalu.
Israel dijangka menghantar wakil untuk menyertai perbincangan di Mesir dalam usaha melanjutkan gencatan senjata bagi tempoh jangka panjang.
Menteri Hal Ehwal Strategik Israel, Yuval Steinitz memberitahu Radio Tentera Israel, pada masa kini tiada perjanjian dibuat mengenai gencatan senjata itu.
Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri pula berkata, kumpulan Islam itu telah memberitahu Mesir berhubung penerimaan gencatan senjata selama 72 jam bermula semalam.
Usaha untuk melaksanakan gencatan senjata sebelum ini berhadapan dengan kesuka- ran apabila Hamas enggan mengiktiraf kewujudan Israel manakala Israel mengecam Hamas sebagai sebuah kumpulan pengganas.
Di sebalik gencatan senjata itu, Palestin menuntut supaya sekatan di sempadan Israel- Mesir ditamatkan.
Palestin meminta banduan-banduan yang kini ditahan di penjara Israel ekoran penculikan dan pembunuhan tiga pelajar Yahudi di Tebing Barat turut dibebaskan.
Serangan tentera Israel berjaya memusnahkan 32 terowong berdekatan Gaza yang digali oleh Hamas untuk menyeberangi sempadan sebelum melakukan serangan yang di- anggarkan menelan kos AS$100 juta (RM318.7 juta)
"Hari ini kita telah melengkapkan tindakan bagi menghapuskan ancaman," katanya.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu juga mahu menghapuskan semua persenjataan Hamas di Gaza selepas pejuang pergerakan itu melancarkan lebih 3,000 peluru berpandu dan bom mortar ke arah Israel.
Ia merupakan gencatan senjata ketiga dipersetujui Israel dengan Hamas.
Sebelum ini, Israel mencabuli dua gencatan senjata yang dipersetujui pada Jumaat lalu dan kelmarin.
Dalam pada itu, di The Hague, Belanda Menteri Luar Palestin, Riad al-Malki mengunjungi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di sini semalam bagi mendesak supaya Israel didakwa atas kesalahan jenayah selepas hampir sebulan melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0806&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz39YiRVWio 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment