Wednesday 6 August 2014

Manik Mehta diminta mulakan rundingan damai


6 Ogos 2014


NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Di tengah-tengah gencatan senjata antara kumpulan Israel dan Palestin yang bertempur di Semenanjung Gaza, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon mendesak semua pihak dalam konflik itu agar memulakan rundingan damai di Kaherah untuk keamanan berkekalan.
   
Ban Ki-moon yang mengeluarkan kenyataan melalui jurucakapnya di ibu pejabat PBB di New York berkata kedua-dua pihak Israel dan Palestin harus menangani isu asas yang terus menjadi punca kepada tercetusnya konflik itu.
   
Beliau memuji secara khusus apa yang dipanggil 'penglibatan proaktif' daripada delegasi Palestin di bawah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas, menganggap rundingan seperti itu adalah 'satu-satunya cara untuk menghentikan keganasan yang mengorbankan banyak nyawa, dan menukar status quo di Gaza'.

Setiausaha Agung itu juga mengalu-alukan usaha yang membawa kepada wujudnya gencatan senjata terkini dan memuji pihak-pihak yang menjalankan pengawasan bagi gencatan senjata 72 jam yang bermula semalam pada 8 pagi (waktu tempatan).
   
Ban Ki-moon menegaskan 'setiap orang mesti mematuhi perjanjian baharu ini'.
   
Statistik terbaharu yang dikeluarkan di sini menunjukkan situasi yang membimbangkan - dari segi kehilangan nyawa, kecederaan, kemusnahan harta benda dan perpindahan orang awam.
 
Sejak tercetusnya konflik terbaharu itu pada 7 Julai, sumber PBB di New York berkata bahawa sekurang-kurangnya 1,777 Palestin terbunuh, 85 peratus daripada mereka adalah orang awam.
   
Angka itu dikumpulkan oleh Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA). Mangsa membabitkan 393 kanak-kanak dam 208 wanita.
   
Gencatan senjata itu membolehkan usaha PBB dan rakannya untuk menambah bekalan di sekolah dan bangunan lain yang telah ditukar menjadi tempat perlindungan sementara kepada hampir 270,000 pelarian di Semenanjung Gaza.
   
Menurut jurucakap Agensi Bantuan dan Pekerjaan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), agensi itu telah menggunakan tempoh itu untuk menambah bekalan makanan, air dan barangan keperluan lain bagi 90 tempat perlindungan yang dibina oleh agensi itu di kawasan berkenaan.
   
Jurucakap Chris Gunness, dalam wawancara media menyifatkan penduduk di situ sebagai 'amat trauma' dan hidup dalam ketakutan kerana tempat perlindungan selamat PBB juga ditembak.
   
Sebelum gencatan senjata itu bermula, Ban Ki-moon sekeras-kerasnya mengutuk serangan pada Isnin yang menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang awam Palestin terbunuh ketika berlindung di luar sekolah PBB di Rafah yang menempatkan ribuan orang awam. - Bernama

No comments:

Post a Comment