6 Ogos 2014
DUNGUN - Lebih 2,000 anak muda dari daerah Dungun menyertai demonstrasi serta Kempen Memboikot Produk Keluaran Israel di Perkarangan Pasar Buah Dungun semalam.
Demonstrasi secara aman anjuran anak muda Dungun itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai bagi memboikot dan berhenti daripada menggunakan produk yang memberi sumber ekonomi kepada Israel secara besar-besaran.
Seorang daripada penganjur, Mohd Nurhafizuddin Abdul Rani, 20, berkata, program itu dianjurkan secara tidak langsung melalui laman sosial kemudian menjadi viral dan diketahui ramai.
"Saya tak sangka penyertaan hari ini cukup ramai memandangkan program ini menjadi viral di Facebook, Twitter serta WhatsApp yang mana kita hari ini berkumpul secara aman untuk menyatakan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan Israel kepada rakan-rakan seagama kita di Palestin," katanya kepada Bernama.
Seorang peserta, Rostam Sani Ahmad, 30, berkata sudah tiba masanya pengguna beralih kepada produk tempatan dan berhenti menggunakan produk Israel sebagai protes terhadap kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat di Palestin.
Seorang lagi peserta, Mohd Adenan Mat, 25, dari Kampung Jerangau pula berharap penganjur demonstrasi kempen memboikot produk Israel perlu berhemah dalam tindakan mereka.
"Kita boleh berkempen dan menyatakan bantahan tapi saya harap penganjur dan peserta usahlah terlampau emosional hingga mengganggu premis orang termasuk mereka yang diboikot kerana nanti kita pula tiada bezanya dengan perangai orang Zionis," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment