Oleh Siti A'isyah Sukaimi
ALOR SETAR: Dunia Arab sepatutnya menolong penduduk Gaza di Palestin yang diserang rejim Zionis Israel dan bukannya mengambil sikap berdiam diri, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, negara-negara Arab yang majoriti rakyatnya beragama Islam perlu menghulurkan bantuan kepada rakan mereka yang kesusahan termasuk dengan menghantar bekalan makanan dan ubat.
"Amat sedih apabila bekalan makanan dan ubat tidak dapat masuk ke Gaza, disekat oleh negara-negara Arab yang bersempadan dengan Gaza," katanya ketika ditemui semasa mengunjungi Kompleks Pekan Rabu di sini, hari ini.
Dr Mahathir berkata, sikap masyarakat Islam yang bermusuhan sesama sendiri juga menguntungkan musuh Islam yang mengambil kesempatan daripada kelemahan itu.
Selain itu, katanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak mempunyai fungsi untuk membantu penduduk Gaza yang diserang rejim Zionis Israel sejak sekian lama.
Laporan media menyatakan 172 rakyat Palestin terbunuh dan 1,230 orang cedera sejak Israel menyerang Gaza melalui operasi dikenali sebagai "Operation Protective Edge" pada Selasa. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/14
No comments:
Post a Comment