BAITULMAQDIS 13 Julai - Israel dijangka melancarkan serangan darat besar-besaran di Gaza pada bila-bila masa apabila meminta beribu-ribu penduduk Palestin meninggalkan kawasan kediaman mereka, masuk hari keenam serangan rejim Zionis Israel ke atas Gaza, yang menyaksikan sebanyak 167 penduduk Palestin terbunuh setakat ini.
Tentera udara Israel dilaporkan menggugurkan risalah memberi amaran supaya penduduk di Beit Lahiya, utara Gaza meninggalkan kawasan perumahan masing-masing.
Jurucakap tentera rejim Yahudi berkata, risalah itu diedarkan bagi membolehkan satu kempen 'pendek dan sementara' dilancarkan selepas pukul 12 tengah hari ini (5 petang waktu Malaysia).
Risalah tersebut turut menyatakan kawasan yang akan mengalami kesan paling teruk dalam serangan tersebut.
"Ini adalah satu ancaman benar dan bukan satu ancaman psikologi.
"Kami meminta penduduk Palestin meninggalkan kawasan itu bagi mengelak mereka cedera,'' kata jurucakap tentera, Jeneral Moti Almoz kepada sebuah radio tentera.
Tidak dapat dipastikan sama ada serangan itu merupakan perubahan daripada serangan udara atau satu operasi darat bersama serangan udara.
Dalam pada itu, beribu-ribu penduduk di Beit Lahiya mula meninggalkan kawasan kediaman mereka dengan membawa harta benda menggunakan kereta, keldai dan kereta kuda.
Seorang penduduk, Farid berkata, serangan bom pada malam tadi menyebabkan penduduk ketakutan.
"Saya bersama-sama enam anggota keluarga akan pergi ke mana sahaja tempat yang selamat,'' katanya.
Seorang lagi penduduk, Sultan berkata, mereka tidak menerima sebarang amaran.
"Bagaimanapun, kami berpindah kerana bimbangkan anak-anak kami selepas berlaku serangan roket yang banyak malam tadi," katanya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140714/lu_03/Ancam-serang-besar-besaran#ixzz37OIfgAh6
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment