GAZA - Unit komando tentera laut Israel bertempur dengan pejuang Hamas dalam satu serbuan di Genting Gaza semalam.
Serbuan itu merupakan serangan darat pertama sepanjang enam hari Israel menyerang Gaza.
Tindakan ketenteraan itu dilakukan untuk menghentikan bedilan roket pejuang Palestin ke dalam wilayah Israel.
Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel PeterLerner berkata, pasukan komando tersebut yang dibantu jet pejuang, bertindak menyerang sebuah lokasi di Gaza yang digunakan untuk melancarkan roket jarak jauh Hamas.
"Empat komando Israel cedera tetapi kami dapat memusnahkan sasaran," katanya.
Namun, Hamas memberitahu, pejuang-pejuangnya membedil komando rejim Zionis berkenaan sekali gus menghalang mereka daripada melakukan pendaratan.
Dalam pada itu, beberapa pegawai Palestin berkata, seramai 165 penduduk Palestin maut dalam serangan Israel dengan sebahagian besarnya terdiri daripada orang awam.
Di pihak Israel pula tiada angka kematian dicatat akibat bedilan roket Hamas setakat ini.
Dua jam menjelang pengumuman serbuan darat itu semalam pada pukul 9 pagi waktu Malaysia, pejuang Hamas melancarkan beberapa roket jarak jauh yang mengenai pinggir ibu kota Israel, Tel Aviv dan kawasan sekitar Lapangan Terbang Ben Gurion
Israel sebelum ini menyatakan ia menimbang untuk melancarkan serangan darat di Gaza dan telah mengerahkan 20,000 askar simpanannya supaya bersiap-sedia.
Namun, kebanyakan operasi ketenteraan yang dilancarkan melibatkan serangan udara yang mengenai 1,200 sasaran di Gaza.
"Penelitian kami mendapati sebahagian besar bedilan roket Hamas berasal dari kawasan utara di Gaza," kata Lerner.
Menurutnya, Hamas yang menguasai Gaza telah membedil ratusan roket jauh ke dalam wilayah Israel.
Tentera Yahudi memberitahu, lebih 800 roket Hamas telah dilancarkan sejak rejim Zionis memulakan operasi ketenteraan pada Selasa lalu.
"Israel pula melancarkan sebanyak 1,320 serangan ke atas sasaran Hamas melibatkan tapak pelancaran roket, pusat kawal dan perintah, fasiliti membuat roket, gudang dan terowong penyeludupan," jelas jurucakap berkenaan.
Setakat semalam keganasan lintas sempadan itu tiada tanda akan reda di sebalik meningkatnya tekanan terhadap kedua-dua pihak supaya menamatkan serangan.
Terdahulu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak serangan dihentikan manakala para menteri luar Barat dijadual bertemu semalam untuk membincangkan keperluan gencatan senjata.
Sepanjang malam semalam, bunyi siren berkumandang di Israel dengan menyebabkan orang ramai melarikan diri menuju ke beberapa kubu bawah tanah untuk mengelak daripada menjadi mangsa serangan roket Hamas. - Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0714&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz37OOeSY76
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment