KAHERAH - MESIR.  Beberapa parti politik dan gerakan di Mesir menggesa presiden Abdel Fattah al-Sisi supaya membuka sempadan Rafah secara kekal.

Dalam satu kenyataan, jurucakap kumpulan itu menegaskan keputusan membuka sempadan Rafah bukan bermakna Mesir akan berhenti mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjamin keselamatan negara tersebut.

"Laluan itu menjadi penentu hidup dan mati kepada penduduk Palestin dan ia tidak sepatutnya dipolitikkan," menurut kenyataan tersebut.

Khamis lalu, kerajaan Mesir membuka sempadan Rafah secara sementara bagi membolehkan penduduk Gaza yang cedera parah akibat serangan rejim Zionis dipindahkan ke beberapa hospital di Al-Arish dan Kaherah.

Bagaimanapun, al-Sisi bertindak menutup semula laluan utama penduduk Gaza itu ketika serangan Israel semakin meningkat di wilayah terbabit.

Difahamkan, penutupan sempadan Rafah tersebut telah memberi kesan besar kepada 1.7 juta penduduk Palestin dan tindakan itu dikatakan lebih buruk daripada sekatan haram Israel.

Memetik laporan Al - Ahram, sejak rampasan kuasa yang menggulingkan bekas presiden Mohammed Mursi pada Julai tahun lalu, hanya mereka yang mempunyai pasport antarabangsa dan pelajar perubatan dibenarkan masuk atau keluar menerusi sempadan Rafah.