GAZA - PALESTIN. Sambutan Ramadan di bumi Gaza kali ini, amat jauh berbeza. Saban waktu, bumi Gaza bermandikan darah, ramai nyawa terkorban, kanak-kanak dan wanita menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Pelajar Malaysia yang berada di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman memberitahu, Ramadan di sini asalnya lebih meriah daripada Aidilfitri tapi kerana perang, suasana itu jadi hambar.

Katanya, akibat serangan udara Zionis yang bertubi-tubi, masjid-masjid di Gaza membatalkan solat sunat tarawih malah ziarah berbuka terpaksa ditangguhkan dan operasi perniagaan turut di tutup.

“Penduduk Gaza terpaksa mengambil risiko untuk keluar meskipun menyedari berdepan bahaya. Jadi mereka hanya akan masak juadah berbuka sendiri, walaupun kadangkala penduduk datang hantar makanan ke rumah," katanya.

Berkongsi pengalaman yang ketika ini berdepan serangan Israel di Semenanjung Gaza, penuntut tahun dua Ijazah kedua Syariah Universiti Gaza itu berkata, sejak hari pertama, tingkat lima hospital yang juga tempat dia menginap sentiasa bergegar oleh bedilan roket Israel.

Katanya, hampir setiap masa dron di atas kepala dan sesekali pesawat pejuang F16 melintas di udara mencari mangsa.

"Apabila bunyi F16 terlalu dekat, otak akan berfikir, apakah aku sasarannya kali ini," ujar Muhammad Nadir.

Namun, baginya soal hidup mati itu tidak dibimbangkan kerana mati boleh berlaku di mana-mana sahaja.

Menurutnya, kebimbangan bukan pada nyawanya sendiri, tetapi pada insan yang ditinggalkan, bagaimana mereka akan menghadapinya, termasuk keluarga di Malaysia dan  Gaza.

"Setelah setahun setengah di sini, saya cukup akrab dengan penduduk Gaza. Setiap kali membaca berita, perasaan berdebar-debar bimbang kalau ada nama yang dikenali jadi syuhada,” katanya.

Muhammad Nadir memberitahu, serangan rejim Zionis juga turut mengorbankan seorang sahabatnya.

Kelmarin, 18 orang syahid apabila masjid dan rumah di belakang kediamannya dibom selepas solat tarawih.

“Hari ini (semalam) masuk hari keenam serangan Zionis ke atas Gaza, lebih 120 meninggal dunia, lebih 100 cedera dan ribuan kediaman musnah.

“Pada Subuh, sekitar jam tiga pagi, serangan semakin ketara. Serangan dilakukan mengikut kawasan, kadang kala fokus di Selatan, kadang kala di Gaza Tengah.

"Zionis menyasarkan serangan ke atas hospital dan pejabat NGO yang memberi khidmat kepada penduduk," katanya.

Bercerita kisah hidupnya di bumi Gaza, pemuda berusia 27 tahun yang  berasal dari Bandar Baru Bangi ini merupakan satu-satunya pelajar Malaysia di Gaza.

Tegasnya, dia hanya akan pulang sekiranya peperangan reda dan sempadan Rafah dibuka.

"Sebelum ini, saya menyambung di Syria, tetapi apabila keadaan di sana bergolak saya ke sini (Gaza),” katanya.

Meskipun tidak gentar untuk syahid di bumi Gaza, keluarganya pasrah dengan keputusannya untuk kekal di negara itu.

“Alhamdulillah, mereka ada rasa bimbang tetapi reda dengan keputusan saya.

“Sekarang cuti musim panas. Pelan asal pulang sebelum Ramadan terbantut akibat sempadan yang tidak dibuka,” katanya.

Menurutnya, sejak tercetusnya perang, bantuan yang diterima sangat terhad, sekadar daripada NGO sedia ada di dalam Gaza kerana NGO luar tidak dibenarkan masuk dan tersekat di sempadan.

Beliau berkata, peperangan itu menambahkan lagi kesengsaraan rakyat Palestin, apabila Kerajaan Hamas yang dihimpit gagal membayar gaji, bantuan kepada anak-anak yatim terputus, krisis kekurangan makanan, ubat-ubatan dan elektrik meningkat dengan mendadak.